Saringan untuk melanoma malignan (sejenis kanser kulit)

Soalan ulasan

Kami telah mengulas bukti mengenai kesan saringan untuk melanoma malignan (sejenis kanser kulit) dalam orang yang tidak disyaki mempunyai kanser ini iaitu orang yang tidak mempunyai tahi lalat atau luka yang mencurigakan (satu kawasan pada kulit yang mempunyai penampilan yang luar biasa berbanding dengan kulit sekeliling), berbanding dengan tanpa saringan. Kami telah menyertakan sebarang jenis saringan (contohnya pemeriksaan kulit secara kendiri, atau oleh ahli kesihatan profesional) dalam sesiapa yang tidak disyaki untuk menghidapi melanoma malignan, tidak kira umur atau jantina. Kami telah menyertakan kajian dalam orang yang disyaki mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi melanoma malignan, tetapi bukan mereka yang pernah menghidapi melanoma yang telah diketahui sebelum ini.

Latar belakang

Melanoma malignan merupakan sejenis kanser kulit yang boleh menyebabkan kematian dengan perebakan ke anggota badan yang lain; bilangan ketumbuhan semakin meningkat, sementara risiko kematian disebabkan penyakit ini dalam banyak negara tidak meningkat dengan cara yang sama. Saringan untuk melanoma malignan dilakukan dengan pemeriksaan kendiri secara visual, atau pemeriksaan visual yang dilakukan oleh doktor atau ahli kesihatan profesional yang lain. Saringan mempunyai potensi untuk mengurangkan kematian daripada melanoma. Namun, terdapat juga kemudaratan yang berpotensi untuk berlaku daripada saringan dalam orang yang tidak mempunyai gejala-gejala melanoma malignan, seperti terjumpa melanoma yang tidak akan menyebabkan gejala jika ianya kekal tidak dijumpai (iaitu diagnosis berlebihan), pembedahan yang tidak diperlukan dan kemungkinan tekanan dari segi psikologi. Ia adalah penting untuk menubuhkan asas bukti bagi saringan.

Ciri-ciri kajian

Dua kajian telah memenuhi kriteria kemasukan kami. Kajian yang pertama berpusat di US, bertujuan untuk mengkaji cara untuk meningkatkan kekerapan orang untuk melakukan pemeriksaan kulit secara kendiri. Kesemua 1356 orang peserta telah diminta untuk menghabiskan temubual telefon susulan pada bulan ke-2, 6 dan 12 selepas perawakan. Purata umur para peserta adalah 53.2 tahun; 41.7% daripada mereka adalah lelaki.

Kajian yang kedua telah melibatkan 18 komuniti di Australia (63,035 orang dewasa) yang telah diperuntukkan sama ada untuk menjalani program saringan berasaskan komuniti selama tiga tahun atau tidak. Kajian tersebut tidak melaporkan maklumat mengenai purata umur atau bilangan lelaki dan perempuan dalam seluruh populasi kajian, tetapi purata umur peserta yang menghadiri saringan kulit adalah 46.5 tahun dan 51.5% daripada mereka adalah lelaki. Kajian tersebut berlangsung untuk tiga tahun; hasil-hasil telah diukur semasa klinik saringan dijalankan pada tempoh tersebut. Tidak ada susulan lanjut. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji sama ada kajian yang lebih besar boleh dilakukan, yang telah dihentikan disebabkan oleh kekurangan dana.

Kajian yang pertama dibiayai oleh National Cancer Institute (US); kajian yang kedua pula dibiayai oleh Queensland Cancer Fund dan Queensland Health (Australia).

Hasil-hasil utama

Tidak terdapat maklumat daripada mana-mana kajian mengenai kesan saringan ke atas jumlah kematian, diagnosis berlebihan daripada saringan, atau kualiti kehidupan peserta. Hasil-hasil yang berikut juga tidak dilaporkan; kematian daripada kanser kulit dan kadar positif/negatif palsu (iaitu mendiagnosis sesuatu luka kulit sebagai melanoma padahal ia tidak wujud/tidak mengenali melanoma padahal ia wujud). Justeru itu, kami tidak tahu sama ada saringan untuk melanoma malignan boleh memberi sebarang manfaat, atau sama ada potensi manfaat saringan akan dikurangkan oleh bahayanya. Saringan populasi orang dewasa secara keseluruhan adalah tidak disokong atau disangkal oleh bukti daripada kajian-kajian yang direka secara baik sehingga Mei 2018 dan oleh itu tidak memenuhi kriteria yang diterima untuk pelaksanaan program saringan.

Kebolehpercayaan bukti

Kami tidak dapat menilai kebolehpercayaan bukti untuk hasil utama kerana ianya tidak dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information