Penggunaan dexmedetomidine untuk mengurangkan kesakitan dan mendorong bayi baru lahir yang memerlukan ventilasi sokongan hidup untuk tidur

Mesej-mesej utama

1. Dexmedetomidine adalah ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan dan mendorong tidur. Ia digunakan dalam bayi baru lahir yang memerlukan ventilasi mekanikal (satu mesin yang membantu pernafasan). Kami telah menemui tiada bukti untuk menyokong penggunaan atau tanpa penggunaan dexmedetomidine dalam bayi baru lahir pada ventilasi mekanikal.

2. Kajian yang direka dengan baik adalah diperlukan untuk menentukan manfaat dan kemudaratan dexmedetomidine dalam bayi baru lahir, terutamanya dalam bayi yang sangat pramatang, disebabkan mereka adalah yang paling tenat.

Apakah dexmedetomidine?

Dexmedetomidine adalah sejenis sedatif. Sedatif berfungsi dengan membantu seseorang untuk berehat dan berasa tenang; selalunya orang jatuh tidur selepas mengambil sedatif. Dexmedetomidine juga mempunyai sifat melegakan kesakitan. Dexmedetomidine diberikan kepada orang daripada semua umur untuk membantu mereka berehat dan berasa kurang sakit semasa rawatan rapi, ventilasi mekanikal, dan prosedur diagnostik atau pembedahan yang menekankan.

Mengapakah ini penting untuk bayi baru lahir yang menggunakan ventilasi mekanikal?

Kira-kira 9% daripada semua bayi baru lahir dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi neonatal (NICU) terus selepas kelahiran. Kebanyakan bayi ini memerlukan bantuan pernafasan dan sedang menggunakan ventilasi mekanikal. Ventilasi mekanikal dan masa dalam NICU adalah menekan untuk bayi. Kesakitan dan tekanan dalam bayi baru lahir membawa kepada komplikasi berpanjangan (sehingga alam dewasa). Oleh itu, ubat-ubatan untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan tekanan sering diperlukan semasa rawatan rapi.

Untuk mengurangkan kesakitan dan tekanan berkaitan dengan ventilator, bayi selalunya diberikan ubat penahan sakit seperti opioid (morfin, fentanyl) digabungkan dengan midazolam. Midazolam adalah benzodiazepine (sedatif) dan membantu merehatkan bayi. Morfin dan fentanyl kedua-duanya mempunyai kesan-kesan sampingan serius seperti pergantungan fizikal, masalah penarikan diri, dan penghadaman dan pernafasan yang perlahan.

Dexmedetomidine boleh digunakan untuk menggantikan opioid dan benzodiazepin, atau digabungkan dengan dos opioid yang lebih kecil. Dexmedetomidine tidak menjejaskan dorongan pernafasan (bayi tidak lupa untuk bernafas), memudahkan bantuan semasa penjagaan kanggaru (sentuhan kulit ke kulit).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada dexmedetomidine adalah ubat efektif dan selamat untuk digunakan bagi melegakan kesakitan dan tekanan dalam bayi baru lahir yang sakit yang memerlukan ventilasi mekanikal.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang melihat kepada dexmedetomidine dibandingkan dengan opioid (seperti morfin atau fentanyl), ubat relaksasi bukan opioid (seperti ketamin, midazolam, fenobarbital, atau propofol), atau plasebo (rawatan dummy) dalam bayi baru lahir yang sakit yang memerlukan ventilasi mekanikal.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan dexmedetomidine dengan ubat relaksasi atau plasebo. Kami telah menemui empat kajian yang berterusan yang membandingkan dexmedetomidine dengan fentanyl, morfin, dan ketamin ditambah dengan dexmedetomidine. Kami tidak pasti sama ada kajian-kajian ini akan membantu menjawab soalan tentang penggunaan dexmedetomidine untuk melegakan kesakitan dan penenang dalam bayi dalam ventilasi mekanikal, disebabkan kami tidak mengetahui sama ada bayi dalam kajian memerlukan ventilasi mekanikal.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak menemui bukti untuk menyokong penggunaan atau tanpa penggunaan dexmedetomidine untuk mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dalam bayi pramasa pada ventilasi mekanikal.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga September 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information