Metformin dan terapi gabungan sulfonilurea generasi kedua atau ketiga untuk orang dewasa yang menghidap diabetes mellitus jenis 2

Soalan ulasan

Kami ingin menyiasat kesan gabungan ubat antidiabetik metformin dengan sulfonilurea berbanding gabungan antidiabetik yang lain terhadap pesakit diabetes jenis 2.

Latar belakang

Ramai orang yang menghidap diabetes jenis 2 dirawat dengan beberapa jenis ubat penurun glukosa seperti 'sulfonilurea' (contohnya glibenclamide atau glyburide, glipizida dan gliclazide). Ubat-ubatan ini menurunkan glukosa dalam darah dengan merangsang rembesan insulin dalam tubuh, sehingga meningkatkan kadar insulin dalam darah. Satu lagi agen antidiabetik, metformin, menurunkan glukosa dalam darah dengan meningkatkan keupayaan tubuh untuk membuat insulin berfungsi dengan lebih baik (sensitiviti insulin). Gabungan metformin dan sulfonilurea telah digunakan secara meluas. Kami ingin menyiasat kesan penting gabungan metformin dan sulfonilurea ini terhadap pesakit seperti komplikasi diabetes (contohnya penyakit buah pinggang dan penyakit mata, serangan jantung, strok), kematian dari sebarang sebab, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan kesan sampingan ubat-ubatan tersebut.

Ciri-ciri ulasan

Kami mendapati 32 kajian terkawal rawak (percubaan klinikal di mana pesakit dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), yang menglibatkan seramai 28,746 orang dengan diabetes jenis 2 sama ada ke dalam kumpulan metformin ditambah sulfonilurea atau kumpulan pembanding. Kumpulan pembanding terdiri daripada jenis-jenis ubat antidiabetik berikut di samping metformin: lima kajian dengan peptida analog seperti glucagon 1, sembilan kajian dengan dipeptidil-peptidase 4 inhibitor, 11 kajian dengan thiazolidinediones, tiga kajian dengan glinida dan empat kajian dengan inhibitor pengangkut 2 natrium-glukosa.

Para peserta kajian telah dirawat antara satu hingga empat tahun. Terdapat perbezaan yang besar antara orang yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut, terutamanya berkaitan dengan umur, tempoh masa mereka mengalami diabetes dan sama ada komplikasi kencing manis telah berlaku sewaktu kajian dimulakan.

Bukti ini adalah terkini sehingga Mac 2018.

keputusan utama

Data mengenai hasil penting terhadap pesakit adalah sedikit, dan data adalah terhad untuk semua perbandingan gabungan metformin dan sulfonilurea dengan ubat antidiabetik yang lain. Data yang ada juga tidak menunjukkan perbezaan ketara antara gabungan metformin dan sulfonilurea dengan gabungan metformin dan ubat antidiabetik lain atau metformin semata-mata untuk kebanyakan hasil penting terhadap pesakit. Terdapat lebih banyak kejadian gula rendah dalam darah (episod hipoglisemia) dengan rawatan kombinasi metformin dan sulfonilurea berbanding gabungan metformin dan ubat antidiabetik lain.

Kami tidak menjumpai kajian yang melaporkan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan. Kami juga telah mengenal pasti sembilan kajian yang masih dijalankan dan dua kajian yang belum diterbitkan sedang menunggu penilaian. Kajian-kajian ini akan melibatkan sekitar 16,631 peserta. Setelah hasil kajian-kajian tersebut diterbitkan, barulah mereka boleh mempengaruhi penemuan kajian kami dengan ketara.

Kepastian bukti

Semua kajian yang terlibat memiliki kekurangan dari segi cara ia dijalankan atau bagaimana penulis kajian melaporkan hasilnya. Bagi perbandingan individu terhadap ubat-ubat antidiabetik, selalunya bilangan peserta adalah kecil, mengakibatkan risiko kesalahan rawak yang tinggi (hasil kebetulan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information