Penyediaan dan penggunaan perkhidmatan antenatal rutin

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat sintesis bukti kualitatif Cochrane ini adalah untuk meneroka pandangan dan pengalaman wanita dan pekerja penjagaan kesihatan tentang penjagaan antenatal. Kami mengumpul dan menganalisa semua kajian kualitatif yang berkaitan untuk menjawab soalan ini, dan menyertakan 85 kajian.

Sintesis ini dikaitkan dengan ulasan Cochrane tentang keberkesanan model penjagaan antenatal yang berbeza. Sintesis ini direka untuk memaklumkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk pengalaman kehamilan yang positif.

Mesej utama

Tiga bidang penjagaan antenatal adalah penting kepada kedua-dua wanita dan penyedia perkhidmatan di semua rantau di dunia. Ini adalah: keperluan untuk mengenali dan mengambil kira konteks sosiobudaya di mana penjagaan disediakan; keperluan untuk memastikan reka bentuk dan penyediaan perkhidmatan adalah sesuai, boleh diakses, boleh diterima dan berkualiti tinggi: dan perkara yang penting kepada wanita dan kakitangan adalah penjagaan sokongan yang diperibadikan, maklumat dan keselamatan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Penjagaan antenatal adalah penjagaan kesihatan yang diperolehi oleh wanita semasa mereka hamil. Semasa lawatan penjagaan antenatal, wanita hamil diberikan sokongan, jaminan, dan maklumat tentang kehamilan dan kelahiran, serta ujian dan pemeriksaan untuk melihat sama ada mereka dan bayi mereka sihat. Jika sebarang isu atau masalah ditemui, ini boleh diuruskan semasa lawatan klinik. Jika perlu, wanita boleh dirujuk kepada ahli penjagaan kesihatan lain. Pelbagai jenis pekerja penjagaan kesihatan boleh memberikan penjagaan antenatal. Ini termasuk bidan, doktor, jururawat, dan, kadangkala, atendan kelahiran tradisional.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan agar semua wanita hamil mendapatkan penjagaan antenatal, tetapi wanita hamil tidak selalu menggunakan penjagaan ini. Ini mungkin kerana mereka tidak berpendapat ia penting, atau kerana mereka tidak boleh pergi ke fasiliti penjagaan kesihatan. Ia juga mungkin kerana penjagaan antenatal yang mereka terima berkualiti rendah atau kerana mereka dilayan dengan teruk ketika berada di sana. Dengan melihat kajian tentang pandangan dan pengalaman wanita dan pekerja penjagaan kesihatan tentang penjagaan antenatal, kami berhasrat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara yang mungkin membantu wanita menggunakan penjagaan antenatal, dan perkara yang mungkin menghalang mereka daripada menggunakannya.

Apakah penemuan utama ulasan ini?

Kami menyertakan 85 kajian dalam sintesis kami. Empat puluh enam kajian meneroka pandangan dan pengalaman wanita yang hamil atau yang baru melahirkan anak. 17 kajian meneroka pandangan dan pengalaman penyedia penjagaan kesihatan, termasuk pekerja kesihatan awam atau komuniti, dan 22 kajian menyertakan pandangan kedua-dua wanita dan penyedia penjagaan kesihatan. Kajian dijalankan di lapan negara berpendapatan tinggi, 18 negara berpendapatan sederhana dan 12 negara berpendapatan rendah, di lokasi luar bandar dan bandar.

Penemuan kami mencadangkan bahawa wanita menggunakan penjagaan antenatal jika mereka mendapati ia adalah pengalaman positif yang sesuai dengan kepercayaan dan nilai mereka, mudah untuk diakses, berpatutan, dan melayan mereka sebagai individu. Mereka mahukan penjagaan yang membantu mereka merasakan bahawa mereka dan bayi mereka selamat, dan disediakan oleh kakitangan yang baik, penyayang, sensitif terhadap budaya, fleksibel dan saling menghormati, yang mempunyai masa untuk memberi sokongan dan jaminan kepada mereka tentang kesihatan dan kesejahteraan mereka dan bayi mereka. Mereka juga menghargai ujian dan rawatan yang ditawarkan apabila mereka memerlukannya, dan maklumat serta nasihat yang berkaitan dengan mereka.

Penemuan kami juga mencadangkan bahawa kakitangan penjagaan kesihatan ingin dapat menawarkan penjagaan seperti ini. Mereka ingin bekerja dalam perkhidmatan antenatal yang dibiayai dengan sewajarnya, dan yang memberi mereka sokongan, gaji, latihan dan pendidikan yang sewajarnya. Mereka percaya ini akan membantu mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk merawat setiap wanita hamil sebagai seorang individu, dan mempunyai pengetahuan, sumber kemahiran dan peralatan untuk menjalankan tugas mereka dengan baik.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information