Terapi kerja bagi skizofrenia yang disediakan oleh ahli terapi kerja berbanding dengan yang lain

Soalan ulasan

Adakah bukti berkualiti bahawa terapi kerja untuk orang dengan diagnosis skizofrenia lebih efektif jika diberi oleh ahli terapi kerja terlatih berbanding orang lain?

Latar belakang

Skizofrenia ialah keadaan kesihatan mental yang serius dengan pelbagai gejala termasuk terdengar suara-suara, kepercayaan yang luar biasa, paranoia, pemikiran atau pengucapan yang bercelaru, dan kehilangan motivasi. Sebagai tambahan bagi orang yang didiagnosis dengan skizofrenia yang menerima rawatan perubatan, perkhidmatan sokongan individu tersebut sering melibatkan terapi lanjutan seperti terapi kerja. Terapi kerja bertujuan untuk membantu memperbaiki fungsi dan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang bermakna dalam kalangan orang dengan skizofrenia, berbanding memfokus untuk mengurangkan gejala. Terapi kerja boleh disediakan oleh pakar profesional yang dilatih sebagai ahli terapi kerja. Walau bagaimanapun, terapi serupa mungkin disediakan oleh orang lain yang tidak terlatih sebagai ahli terapi kerja (contohnya doktor, jururawat, profesional kesihatan bersekutu lain, atau staf sokongan). Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan antara keberkesanan terapi kerja yang disediakan oleh ahli terapi kerja dan terapi serupa yang disediakan oleh orang yang tidak dilatih sebagai ahli terapi kerja.

Pencarian bukti

Pada 26 Julai 2018, kami menjalankan carian elektronik daftar khusus Kumpulan Skizofrenia Cochrane untuk kajian klinikal yang memperuntukkan orang dengan skizofrenia secara rawak untuk menerima terapi kerja yang disediakan oleh ahli terapi kerja atau menerima terapi kerja yang disediakan oleh orang lain.

Bukti-bukti yang ditemui

Kami mengenal pasti 1633 rekod yang berpotensi relevan melalui pencarian pangkalan data kami, yang mana kami memperoleh 17 artikel teks penuh untuk pemeriksaan lebih rapi. Kami tidak dapat memasukkan mana-mana kajian ini dalam ulasan dan mengecualikan sebanyak 14 kajian.

Kesimpulan

Pada masa ini tiada bukti daripada kajian rawak terkawal untuk membolehkan pertimbangan sama ada terapi kerja untuk orang dengan skizofrenia lebih berkesan jika diberi oleh ahli terapi kerja terlatih berbanding dengan orang lain. Penyelidikan diperlukan untuk menjawab soalan ini dan untuk membantu penyedia perkhidmatan merancang perkhidmatan masa depan yang merangkumi terapi kerja bagi orang yang didiagnosis dengan skizofrenia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi. (Chris_ZY@live.com). .

Tools
Information