Rangsangan otak dalam untuk orang dengan postur di luar kawalan, atau distonia

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan rangsangan otak dalam (DBS) untuk orang dewasa dengan distonia. Kami menilai keberkesanan, keselamatan, dan toleransi prosedur ini.

Latar belakang

Distonia adalah penyakit yang menyebabkan pergerakan tidak normal yang tidak diingini, tidak dapat dikawal, dan sering menyakitkan pada anggota tangan dan kaki atau bahagian badan yang terjejas. Ia adalah keadaan yang agak tidak lazim, yang boleh menjadi sangat melumpuhkan dan memberi kesan negatif kepada kualiti hidup seseorang. Dalam kebanyakan kes, penyebabnya adalah tidak diketahui; tiada penawar wujud. Distonia biasanya penyakit jangka panjang yang memerlukan rawatan jangka panjang.

Rangsangan otak dalam (DBS) melibatkan prosedur pembedahan untuk meletakkan perangsang elektrik dalam otak. Selepas itu, perangsang itu dihubungkan ke bateri, dan menghantar impuls elektrik ke otak dari masa ke masa. Bagi orang dengan distonia, DBS biasanya dianggap sebagai pilihan terapeutik untuk kes yang serius sahaja, setelah rawatan yang lain gagal.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian penulisan pada 29 Mei 2018 untuk kajian yang membandingkan DBS dengan rangsangan palsu (prosedur pembedahan yang sama, tetapi tiada impuls elektrik dihantar melalui elektrod yang diletakkan dalam otak), terapi perubatan terbaik, dan plasebo (ubat palsu). Kami menemui dua kajian yang membandingkan DBS dengan rangsangan palsu, dan merangkumi sejumlah 102 peserta. Satu kajian menyertakan peserta dengan distonia tangan, kaki dan badan, dan yang lain dengan distonia leher. Peserta menerima DBS aktif selama enam bulan. Purata usia orang dalam kajian adalah 50 tahun; purata jangka masa penyakit adalah 16 tahun. Kedua-dua kajian dibiayai oleh pengeluar peranti DBS dengan kemungkinan kepentingan dalam keputusan kajian.

Keputusan utama

Untuk distonia tangan, kaki dan badan, DBS mungkin memperbaiki gejala, status klinikal yang dinilai sendiri, dan fungsi. Keputusan menunjukkan bahawa untuk distonia leher, DBS mungkin memperbaiki gejala, status klinikal, fungsi, dan mood. Bagi kedua-dua jenis distonia, kami tidak pasti mengenai kesan DBS terhadap peristiwa-peristiwa berbahaya atau tidak diingini, atau toleransi rawatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan untuk distonia leher, tangan,kaki, dan badan adalah rendah ke sangat rendah. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan, keselamatan, dan toleransi klinikal DBS dalam orang dengan distonia, terutamanya selepas jangka masa tiga hingga enam bulan dari kajian yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information