Apakah isu-isunya?
‘Palsi serebrum’ adalah satu istilah melibatkan keadaan yang memberi kesan kepada pergerakan seseorang; ianya adalah ketidak upayaan fizikal yang paling kerap dalam kalangan kanak-kanak. Palsi serebrum selalunya berlaku disebabkan oleh peristiwa yang berlaku sebelum, semasa, atau selepas kelahiran bayi yang membawa kecederaan kepada otak bayi yang sedang berkembang. Penyebab tunggal palsi serebrum tidaklah diketahui. Untuk kebanyakan kanak-kanak, punca palsi serebum adalah tidak jelas, namun banyak faktor risiko yang telah diketahui. Faktor risiko yang paling besar adalah kelahiran pramatang (kelahiran sebelum minggu 37 kehamilan). Faktor risiko yang lain semasa tempoh neonatal (kelahiran sehingga bulan pertama hidup) termasuk kehilangan oksigen yang berpanjangan semasa kelahiran; kecederaan otak; strok atau sawan; masalah jantung, saluran darah, saluran udara, dan paru-paru; penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal yang terlalu lama; sesetengah jangkitan; jaundis (kulit dan mata bertukar menjadi warna kuning kerana lebihan bilirubin dalam darah); dan beberapa sindrom atau keabnormalan kromosom (struktur-struktur yang mengandungi maklumat genetik).
Mengapakan hal ini penting?
Oleh kerana terdapat banyak faktor risiko yang berbeza dan penyebab terjadinya palsi serebrum, pelbagai intervensi yang berbeza mungkin diperlukan untuk mencegah palsi serebrum dengan cara mengurangkan faktor-faktor risiko yang berkenaan. Tinjauan ini membuat ringkasan bukti tentang pencegahan palsi serebrum yang telah dibentangkan di dalam Ulasan-Ulasan Sistematik Cochrane iaitu intervensi-intervensi ketika tempoh neonatal.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari bukti pada 27 November 2016, dan mengenalpasti 43 Ulasan-ulasan Cochrane yang menilai intervensi-intervensi ketika tempoh neonatal yang melaporkan beberapa maklumat mengenai palsi serebrum. Ulasan-ulasan ini adalah berkualiti sederhana sehingga tinggi, tetapi bukti kualiti tentang palsi serebrum ini berkualiti daripada tahap sangat rendah sehingga tinggi. Tiga Ulasan menilai intervensi untuk bayi baru lahir yang mungkin pernah mengalami kekurangan oksigen semasa atau sekitar waktu kelahiran; 33 Ulasan menilai intervensi untuk bayi lahir pramatang atau kurang berat badan ketika kelahiran; dan tujuh Ulasan menilai intervensi untuk kumpulan lain bayi-bayi baru lahir yang berisiko mengalami kecederaan pada otak mereka (contohnya bayi baru lahir dengan gula dalam darah rendah ketika kelahiran).
Kami mendapati satu intervensi yang efektif untuk pencegahan palsi serebrum. Bayi-bayi baru lahir yang mungkin mengalami kekurangan oksigen pada atau sekitar masa kelahiran yang telah menjalani proses hipotermia (penurunan suhu badan atau hanya pada otak mereka) kurang cenderung untuk menghidapi palsi serebrum daripada bayi yang tidak mengalami hipotermia (tujuh kajian; 881 kanak-kanak; bukti berkualiti tinggi). Kami mendapati satu intervensi yang berkemungkinan efektif untuk pencegahan palsi serebrum. Bayi-bayi baru lahir pramatang yang menerima methylxanthines (kafein) ketika proses pemisahan daripada bantuan mesin pernafasan (ekstubasi daripada ventilasi mekanikal) yang dirancang, kurang cenderung untuk mengalami palsi serebrum daripada bayi yang menerima plasebo (satu kajian; 644 kanak-kanak; bukti berkualiti sederhana). Kami mendapati satu intervensi yang mungkin tidak berkesan serta berkemungkinan menyebabkan kemudaratan: Bayi-bayi baru lahir pramatang yang menerima rawatan awal ubat kortikosteroid (kurang daripada umur lapan hari) untuk mencegah penyakit paru-paru kronik, lebih cenderung untuk menghidapi palsi serebrum daripada bayi yang menerima plasebo (12 kajian; 959 kanak-kanak; bukti berkualiti sederhana). Kami mendapati bahawa lima intervensi yang lain bermungkinan tidak berkesan (tidak mencegah atau meningkatkan risiko palsi serebrum) (bukti berkualiti sederhana). Pengarang ulasan ini tidak menemui bukti yang cukup untuk mengatakan sama ada intervensi lain dapat mencegah; meningkatkan, atau tidak memberi kesan kepada palsi serebrum (bukti berkualiti rendah atau sangat rendah).
Apakah maksudnya?
Ulasan ini mengenalpasti satu intervensi yang berkesan untuk mencegah palsi serebrum (hipotermia yang diransang kepada bayi baru lahir yang mungkin mempunyai kekurangan oksigen), satu intervensi yang mungkin berkesan untuk mencegah palsi serebrum (kafein untuk bayi pramatang yang berhenti daripada mesin bantuan pernafasan), satu intervensi ternyata menyebabkan kemudaratan (rawatan kortikosteroid pada umur kurang daripada lapan hari kepada bayi pramatang bagi mencegah penyakit paru-paru kronik), dan lima intervensi yang tidak mengakibatkan perbezaan yang jelas. Untuk intervensi lain yang dinilai, tiada bukti yang cukup untuk membuat kesimpulan. Adalah penting bahawa kajian-kajian tambahan berkualiti baik untuk menilai intervensi yang mungkin mempengaruhi faktor risiko palsi serebrum menyediakan tempoh susulan jangka panjang untuk mengukur impak intervensi ini. Kami mengenal pasti lebih 100 Ulasan Cochrane lain yang mungkin dapat memberikan maklumat di masa hadapan mengenai intervensi semasa tempoh neonatal untuk mencegah palsi serebrum sekiranya mereka melibatkan tempoh susulan jangka panjang.
Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia, azlanh@usm.my)