Soalan ulasan
Adakah pemberian jumlah suapan pada bayi pramatang (lahir pada usia <37 minggu) atau berat lahir rendah (<2500 gram) lebih banyak daripada yang biasanya diberikan, mendorong pertumbuhan tanpa menyebabkan masalah suapan atau kesan sampingan yang lain?
Latar belakang
Bayi yang dilahirkan lebih awal (pramatang) memerlukan nutrien tambahan untuk pertumbuhan. Salah satu cara untuk memberikan nutrien tambahan adalah memberikan bayi jumlah suapan yang lebih banyak daripada biasa (jumlah suapan yang tinggi, sama dengan atau lebih banyak daripada 180 hingga 200 mL / kg / hari susu). Walaupun memberikan jumlah susu yang tinggi kepada bayi pramatang atau berat lahir rendah mungkin meningkatkan kadar pertumbuhan, kebimbangan termasuk bayi yang tidak boleh bertolak ansur dengan jumlah suapan tinggi dan mungkin mengalami kesan sampingan termasuk masalah usus yang teruk. Penyelidik telah mencari bukti daripada kajian klinikal yang menilai sama ada jumlah suapan tinggi bermanfaat atau membahayakan bayi pramatang atau berat lahir rendah.
Ciri-ciri kajian
Carian adalah terkini sehingga Jun 2020. Kami menemui tiga kajian yang menangani persoalan ini.
Hasil utama
Bukti dari dua kajian menunjukkan bahawa jumlah suapan tinggi (≥ 180 mL / kg / hari) dengan susu manusia yang diperkaya (susu manusia dengan susu manusia diperkaya) atau formula pramatang mungkin meningkatkan kenaikan berat badan semasa tinggal di hospital, jika dibandingkan dengan jumlah standard yang sama . Begitu juga, bukti dari satu kajian kecil menunjukkan bahawa jumlah suapan tinggi (≥ 200 mL / kg / hari) dengan susu manusia atau formula pramatang mungkin meningkatkan kenaikan berat badan semasa tinggal di hospital. Bukti ini tidak mencukupi untuk memberi komen mengenai kesan jumlah suapan tinggi terhadap peningkatan ukuran panjang atau kepala semasa tinggal di hospital, pertumbuhan dan perkembangan jangka panjang, dan kesannya terhadap masalah usus atau kesan sampingan lain.
Kesimpulan
Jumlah suapan tinggi mungkin meningkatkan kenaikan berat badan semasa tinggal di hospital. Data yang sedia ada tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai kesan jumlah suapan yang tinggi terhadap pertumbuhan dan hasil klinikal yang lain.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.