Pemulihan zakar bagi disfungsi erektil postprostatektomi

Soalan ulasan

Bagaimanakah rawatan-rawatan dapat memulihkan keupayaan lelaki untuk ereksi selepas pembedahan kanser prostat?

Latar belakang

Ramai lelaki bermasalah dengan ereksi selepas prostat dikeluarkan akibat kanser prostat. Kajian-kajian mencadangkan pengambilan ubat-ubatan tertentu atau penggunaan alat-alat untuk membantu ereksi mungkin dapat membantu pemulihan ereksi lelaki dengan lebih cepat dan lebih baik apabila digunakan secara regular, terjadual (seperti harian atau dua kali seminggu) dan bukan hanya apabila perlu. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas bagaimana rawatan-rawatan ini sebenarnya berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian rawak (kajian klinikal di mana orang dibahagikan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) melibatkan 1699 peserta. Lima kajian membandingkan penggunaan berjadual perencat phosphodiesterase (sejenis ubat) dengan tiada rawatan atau plasebo (ubat palsu tanpa kesan). Dua kajian membandingkan penggunaan perencat phosphodiesterase sama ada sebagai preskripsi harian ataupun apabila diperlukan. Satu kajian membandingkan penggunaan harian perencat phosphodiesterase ataupun ubat yang dipanggil prostaglandin E1 yang dimasukkan ke dalam hujung zakar seperti supositori. Hasil utama ulasan ini yang kami rasa paling penting kepada lelaki adalah berapa baik mereka anggap ereksi mereka (potensi lapor sendiri), berapa baik ereksi mereka berdasarkan soal selidik ereksi yang khusus (kualiti ereksi) dan sama ada terdapat sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati lelaki yang menggunakan ubat-ubatan ini secara berjadual mungkin mempunyai ereksi lapor sendiri dan kualiti ereksi (berdasarkan soal selidik yang mereka isi) yang sama dengan lelaki yang tidak mengambil ubat secara berjadual ataupun hanya menggunakan ubat-ubatan tersebut apabila diperlukan. Mereka juga menunjukkan kadar kesan sampingan serius yang tidak diingini dan kadar pemberhentian ubat sebelum tempoh rawatan berakhir yang sama. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti tentang dapatan-dapatan ini. Kami tidak dapat menyelidik sama ada keputusan-keputusan ini akan berbeza dalam kumpulan lelaki yang berbeza berdasarkan pakar bedah cuba memelihara saraf yang membantu ereksi atau tidak, berdasarkan usia lelaki dan berapa baik ereksi mereka sebelum ini kerana kami tidak menemui sebarang kajian yang berkaitan.

Kebolehpercayaan bukti

Kualiti bukti bagi kebanyakan hasil kajian adalah sangat rendah Ini bermakna kami sangat tidak pasti keputusan-keputusan ulasan ini. Penyelidikan lanjut mungkin mengubah keputusan-keputusan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information