Apakah kaedah terbaik untuk mengajar pelajar perubatan bercakap dengan pesakit?
Mengajar kemahiran interpersonal
Kita menggunakan kemahiran interpersonal setiap hari ketika bercakap dan berinteraksi dengan orang lain. Kemahiran interpersonal merangkumi kemahiran berkomunikasi seperti mendengar, bertutur, dan bertanya soalan. Komunikasi yang baik antara doktor dan pesakit sangat penting untuk semua konsultasi perubatan. Doktor perlu membina hubungan, menunjukkan empati, mengumpulkan maklumat, menjelaskan konsep, dan merancang rawatan dengan pesakit mereka.
Pelajar perubatan perlu membuktikan bahawa mereka cekap dalam kemahiran interpersonal dan berkomunikasi sebelum mereka menerima ijazah. Pendekatan untuk mengajar pelajar perubatan merangkumi pengajaran secara bersemuka, kursus dalam talian, program yang memberi pelajar maklum balas yang tersendiri, dan penggunaan permainan peranan dengan rakan sebaya atau dengan pelakon yang memainkan peranan sebagai pesakit.
Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Sekolah perubatan dan universiti di seluruh dunia menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mengajar kemahiran interpersonal dan komunikasi. Kami ingin mengetahui jenis program pendidikan yang paling berkesan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai program pendidikan untuk mengajar kemahiran interpersonal dan berkomunikasi kepada pelajar perubatan.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga September 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui 90 kajian relevan yang melibatkan sebanyak 10,124 pelajar, yang dijalankan di Amerika Syarikat dan di negara-negara di Eropah, Timur Tengah, dan Asia Pasifik. Kajian ini menilai program pendidikan untuk mengajar kemahiran interpersonal dan berkomunikasi, termasuk lakonan contoh dan maklum balas individu, dan demonstrasi kumpulan besar. Program disampaikan melalui pengajaran bersuamuka, melalui video, atau dalam talian. Dalam kebanyakan kajian, hasil dinilai segera setelah program pendidikan berakhir, dan sehingga 12 bulan kemudian.
Kami membandingkan hasil kajian yang dilakukan untuk mengetahui bagaimana program berbeza terkesan.
· Kemahiran berkomunikasi secara keseluruhan;
· Memahami perasaan orang lain (empati);
· Membina hubungan atau memahami perasaan atau idea orang lain.
· Mengumpulkan maklumat, termasuk kepuasan, pemahaman, atau pandangan pesakit
· Menerangkan dan merancang (memberi maklumat).
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Membandingkan program interpersonal dengan program pendidikan biasa atau berada dalam senarai menunggu untuk program interpersonal menunjukkan bahawa program ini:
· Sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi keseluruhan pelajar (bukti daripada 18 kajian melibatkan1356 pelajar) dan empati (6 kajian; 831 pelajar);
· Mungkin meningkatkan kemahiran dalam mengumpulkan maklumat mengenai pandangan pesakit (5 kajian, 405 pelajar); tetapi
· Mungkin sedikit atau tidak mempengaruhi kemahiran hubungan (9 kajian, 834 pelajar).
Kami tidak pasti bagaimana program interpersonal mempengaruhi kemahiran dalam memberi maklumat (5 kajian, 659 pelajar).
Kami tidak pasti bagaimana program dalam talian atau pengajaran kendiri mempengaruhi kemahiran berkomunikasi keseluruhan pelajar (4 kajian, 1578 pelajar) atau kemahiran mengumpulkan maklumat (1 kajian, 164 pelajar) berbanding dengan pengajaran bersemuka.
Program dalam talian atau kendiri dibandingkan dengan pengajaran bersuamuka:
· Mungkin sedikit atau tidak mempengaruhi kemahiran hubungan (3 kajian, 421 pelajar);
· Mungkin sedikit atau tidak mempengaruhi kemahiran hubungan (3 kajian, 176 pelajar), tetapi
· Sedikit sebanyak dapat mengurangkan kemahiran dalam memberi maklumat (1 kajian, 122 pelajar).
Program yang memberi pelajar maklum balas yang tersendiri dibandingkan dengan program yang melibatkan maklum balas umum atau tiada maklum balas:
· mungkin meningkatkan sedikit kemahiran berkomunikasi keseluruhan (6 kajian, 502 pelajar); dan
· Sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemahiran empati (1 kajian, 66 pelajar) dan kemahiran mengumpulkan maklumat (1 kajian, 48 pelajar).
Kami tidak pasti bagaimana program dengan maklum balas tersendiri mempengaruhi kemahiran hubungan (1 kajian, 190 pelajar). Tiada kajian yang melaporkan hasil untuk mempengaruhi kemahiran dalam memberi maklumat.
Kami tidak pasti sama ada program yang melibatkan permainan peranan dengan orang yang berlakon sebagai pesakit meningkatkan kemahiran berkomunikasi keseluruhan pelajar (4 kajian, 637 pelajar) berbanding dengan program yang melibatkan permainan peranan dengan rakan sebaya. Permainan peranan dengan orang yang berlakon sebagai pesakit sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemahiran empati (2 kajian, 213 pelajar). Tidak ada kajian yang melaporkan hasil permainan peranan dengan orang yang berlakon sebagai pesakit mempengaruhi kemahiran dalam hubungan atau pengumpulan dan pemberian maklumat.
Tiada kajian yang melaporkan kesan yang tidak diingini untuk mana-mana program pendidikan yang dinilai.
Berapa yakinkah kami terhadap keputusan?
Kami cukup yakin bahawa program pendidikan interpersonal dan program yang melibatkan maklum balas khusus yang tersendiri mungkin meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara keseluruhan.
Kami tidak yakin dengan keputusan kami untuk jenis program lain. Beberapa kajian mempunyai batasan dalam cara kajian dirancang, seperti bagaimana pelajar yang mengambil bahagian dimasukkan kepada kumpulan yang berbeza. Kajian lain mempunyai hasil yang berbeza-beza, dan beberapanya mempunyai masa tindak lanjut yang pendek. Penyelidikan lebih lanjut cenderung untuk mengubah keputusan ini.
Mesej-mesej utama
Program pendidikan interpersonal untuk pelajar perubatan memberi kesan positif pada kebanyakan kemahiran interpersonal yang kami kaji, walaupun kesannya kecil dan keyakinan kami terhadap beberapa hasil adalah rendah.
Program yang merangkumi maklum balas yang tersendiri mungkin meningkatkan kemahiran berkomunikasi keseluruhan pelajar perubatan berbanding program yang melibatkan maklum balas umum atau tiada maklum balas.
Program dalam talian atau kendiri mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam meningkatkan kemahira empati atau hubungan berbanding dengan pengajaran bersemuka.
Diterjemahkan oleh Siti Fatimah Kader Maideen (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my