Latar belakang: Orang tua sering dipreskripsikan dengan pelbagai jenis ubat, menjadi suatu yang mencabar untuk diuruskan. Kesalahan dan ketidakpatuhan mengambil ubat (pengambilan ubat yang kurang atau berlebihan) boleh membawa kepada hasil kesihatan yang negatif. Membantu orang tua menggunakan dan mematuhi ubat mereka dengan lebih baik boleh mengurangkan kesan buruk ubat, seperti kemasukan ke hospital berkaitan ubat, dan boleh meningkatkan hasil kesihatan.
Soalan: Apakah penemuan kajian yang menguji cara untuk meningkatkan kemampuan orang tua untuk menggunakan dan mematuhi pengambilan pelbagai ubat?
Strategi carian: Untuk mencari kajian yang relevan, kami mencari tujuh pangkalan data dalam talian, pendaftaran kajian, dan senarai rujukan ulasan sebelumnya, mengambil kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2019.
Kriteria pemilihan: Kami memasukkan kajian rawak terkawal (RCT) atau kajian-kajian dengan reka bentuk yang sama yang membandingkan sekumpulan orang yang menerima intervensi untuk meningkatkan kemampuan pengambilan ubat atau kepatuhan kepada ubat dengan kumpulan yang menerima penjagaan biasa (tiada intervensi) atau menerima intervensi yang berbeza. Kami memasukkan kajian yang mengkaji orang tua (≥ 65 tahun) yang tinggal di rumah (atau dbenarkan pulang dari hospital kembali ke rumah) yang menggunakan empat atau lebih ubat preskripsi yang tetap.
Keputusan utama: Kami mengenal pasti 50 kajian, melibatkan 14,269 peserta. Semua kajian menguji intervensi berbanding penjagaan biasa, dengan enam kajian juga membandingkan dua jenis intervensi yang berbeza.
Empat belas kajian menguji intervensi pendidikan termasuk orang yang telah menerima pendidikan mengenai ubat-ubatan mereka atau seorang profesional kesihatan membuat semakan ke atas ubat-ubatan mereka. Tujuh kajian menguji intervensi tingkah laku seperti mengubah waktu dos, membungkus semula ubat ke dalam kotak pil multi-petak untuk menjadikan regimen ubat lebih mudah untuk diambil, atau menghantar pesanan teks peringatan kepatuhan. Dua puluh sembilan kajian menguji intervensi campuran pendidikan dan tingkah laku.
Kajian-kajian yang dikenal pasti adalah sangat berbeza dari segi intervensi apa yang peserta telah terima, di mana intervensi diberikan, dan bagaimana dan bila kemampuan dan kepatuhan pengambilan ubat seseorang diukur. Disebabkan perbezaan-perbezaan ini dan masalah dengan bagaimana kajian tersebut dijalankan, kualiti bukti secara keseluruhannya dianggap rendah atau sangat rendah.
Bukti berkualiti rendah bermakna kesan intervensi campuran terhadap kemampuan pengambilan ubat tidak dapat ditentukan, dan tiada kajian yang dikenal pasti yang menilai intervensi pendidikan sahaja atau tingkah laku sahaja untuk meningkatkan kemampuan pengambilan ubat.
Bukti berkualiti rendah menunjukkan berbanding dengan penjagaan biasa, intervensi tingkah laku sahaja dan campuran mungkin meningkatkan perkadaran orang yang patuh kepada ubat mereka dengan memuaskan, tetapi bukti berkualiti sangat rendah bermakna kesan intervensi pendidikan sahaja adalah tidak pasti. Bukti berkualiti rendah dan sangat rendah bermakna tiada intervensi yang ditemui berkesan dalam meningkatkan kepatuhan kepada ubat apabila dinilai dengan ukuran berterusan seperti peratusan ubat yang diambil.
Bukti berkualiti rendah juga menunjukkan intervensi campuran mungkin mengurangkan jumlah lawatan ke jabatan kecemasan atau kemasukan ke hospital, dan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perubahan dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan (HRQoL). Bukti berkualiti sederhana menunjukkan intervensi pendidikan sahaja mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap HRQoL atau kemasukan ke jabatan kecemasan atau hospital. Kesan intervensi tingkah laku sahaja terhadap HRQoL atau kemasukan ke jabatan kecemasan atau hospital adalah tidak pasti kerana bukti yang berkualiti sangat rendah. Kami tidak pasti mengenai kesan intervensi tingkah laku, pendidikan, atau campuran terhadap kematian.
Kajian yang membandingkan satu jenis intervensi dengan yang lain adalah berjumlah terhad, dan kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh untuk sebarang hasil utama.
Kesimpulan penulis: Intervensi sangat berbeza di antara kajian, dan terdapat masalah mengenai bagaimana kajian-kajian tersebut dijalankan, yang mungkin mempengaruhi keputusan mereka. Kami tidak dapat menentukan kesan intervensi terhadap kemampuan pengambilan ubat. Bukti berkualiti rendah menunjukkan intervensi tingkah laku sahaja dan campuran pendidikan dan tingkah laku mungkin meningkatkan perkadaran orang yang patuh kepada regimen ubat mereka. Bukti berkualiti rendah dan sangat rendah mendapati tiada jenis intervensi yang berkesan dalam meningkatkan kepatuhan kepada ubat apabila ia dinilai dengan ukuran yang berterusan. Kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk mengenal pasti cara yang paling berkesan untuk meningkatkan kemampuan pengambilan ubat dan kepatuhan kepada ubat dalam kalangan orang tua yang diberi pelbagai ubat.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosediani Muhamad (PPSP, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my