Keberkesanan pembedahan untuk orang yang mengalami sakit kaki atau belakang akibat stenosis tulang belakang simptomatik

Soalan ulasan

Sejauh manakah jenis pembedahan yang berbeza berfungsi untuk stenosis tulang belakang lumbar?

Latar belakang

Stenosis tulang belakang adalah penyempitan saluran tulang belakang di bahagian bawah belakang yang disebabkan oleh penebalan tisu lembut dan tulang. Ia adalah keadaan biasa di mana pembedahan biasanya dilakukan selepas rawatan bukan pembedahan (seperti fisioterapi) gagal memberikan kelegaan yang mencukupi kepada pesakit. Stenosis tulang belakang adalah penyebab biasa sakit pinggang yang memancar ke kaki, dan ia lebih biasa pada orang dewasa yang lebih tua. Pembedahan untuk stenosis tulang belakang lumbar biasanya melibatkan pengambilan tekanan pada saraf tunjang atau saraf tulang belakang (dikenali sebagai penyahmampatan) dengan mengeluarkan tulang dan tisu lembut dari sekitar saluran tulang belakang. Satu lagi pendekatan pembedahan yang biasa adalah untuk menggabungkan dua atau lebih vertebra bersama selepas penyahmampatan pada pesakit yang tulang belakangnya kelihatan tidak stabil. Kegunaan beberapa jenis pembedahan untuk stenosis tulang belakang lumbar, bagaimanapun, telah dipersoalkan, dan kajian terdahulu telah melaporkan bahawa pesakit yang menerima gabungan lebih berkemungkinan mengalami komplikasi besar dan kos yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pesakit yang menjalani penyahmampatan sahaja. Baru-baru ini, implan tulang belakang dicipta untuk membantu secara tidak langsung mengurangkan tekanan dalam saluran tulang belakang dan pada masa yang sama menstabilkan tulang. Walau bagaimanapun, implan ini juga telah dikaitkan dengan hasil yang lebih teruk (contohnya, kadar operasi semula yang lebih tinggi) jika dibandingkan dengan penyahmampatan konvensional.

Tarikh carian

Ulasan ini meliputi semua kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan semua kajian yang membandingkan mana-mana teknik pembedahan dengan tanpa pembedahan atau pembedahan plasebo, dan juga kajian membandingkan teknik pembedahan yang berbeza antara satu sama lain, termasuk gabungan dan implan tulang belakang. Semua pesakit yang termasuk dalam kajian ini didiagnosis dengan stenosis tulang belakang lumbar dan mempunyai simptom di kaki atau paha yang bertambah buruk dengan berjalan atau berdiri dan secara amnya lega dengan perubahan kedudukan, seperti membongkok ke hadapan atau duduk. Ukuran utama yang kami gunakan untuk membandingkan sejauh mana jenis pembedahan yang berbeza berfungsi ialah betapa kurang kesakitan yang dirasai orang semasa mereka menjalani kehidupan seharian mereka. Kami juga melihat sama ada sakit kaki mereka bertambah baik, berapa banyak darah yang hilang semasa pembedahan, berapa lama pembedahan diambil, berapa lama mereka terpaksa tinggal di hospital, berapa ramai pesakit yang perlu menjalani pembedahan lagi untuk masalah itu dan berapa kos rawatan. .

Keputusan utama dan kualiti bukti

Dua puluh empat kajian rawak telah disertakan dengan sejumlah 2352 orang. Kami tidak menemui kajian yang membandingkan pembedahan tanpa rawatan atau pembedahan plasebo, jadi kesemuanya kajian disertakan membandingkan teknik pembedahan yang berbeza. Kualiti bukti daripada kajian ini berbeza daripada kualiti yang sangat rendah kepada kualiti yang tinggi. Variasi besar ini disebabkan terutamanya oleh protokol kajian yang berbeza, teknik pembedahan dan kualiti pelaporan mengikut penilaian 'Risiko berat sebelah'. Kami mendapati bahawa pesakit yang mengalami penyahmampatan ditambah gabungan tidak lebih baik daripada mereka yang menjalani pembedahan penyahmampatan sahaja. Malah, penyahmampatan ditambah gabungan mengakibatkan lebih banyak kehilangan darah semasa pembedahan berbanding penyahmampatan sahaja. Walaupun spacer tulang belakang adalah lebih baik sedikit daripada penyahmampatan ditambah gabungan dari segi penambahbaikan pada aktiviti harian, tiada perbezaan apabila ia dibandingkan dengan penyahmampatan sahaja. Akhirnya, kami mendapati tiada perbezaan antara pelbagai bentuk penyahmampatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information