Melatih pengamal perubatan untuk respon terhadap keganasan pasangan intim terhadap wanita

Soalan ulasan

Adakah latihan keganasan pasangan intim (IPV) untuk pengamal kesihatan (HCP) meningkatkan:

· Sikap atau kepercayaan, atau kedua-duanya, terhadap IPV,
· Kesediaan untuk respon terhadap mereka yang terjejas oleh IPV,
· Pengetahuan mengenai IPV,
· Rujukan wanita yang mengalami IPV ke perkhidmatan pakar,
· Balasan sebenar terhadap wanita yang mengalami IPV (seperti pengesahan atau perancangan keselamatan),
· Pengenalan dan dokumentasi IPV, dan
· Kesihatan mental mangsa IPV?

Latar belakang

Keganasan pasangan intim dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan fizikal dan mental jangka pendek dan jangka panjang. Ini termasuk kecederaan dan kematian, kemurungan, kegelisahan, gangguan tekanan pasca-trauma, kehamilan yang tidak dirancang / tidak diingini dan masalah ginekologi. Masalah kesihatan boleh berlanjutan melebihi tempoh keganasan dan wanita yang pernah mengalami kekerasan lebih cenderung mendapatkan rawatan kesihatan berbanding wanita yang tidak pernah mengalami kekerasan.

Wanita lebih cenderung mempercayai HCP dengan pendedahan mengenai keganasan. Bagi sesetengah wanita, tempat penjagaan kesihatan mungkin merupakan salah satu daripada beberapa tempat yang boleh dikunjungi oleh wanita sendiri. Oleh itu, HCP (seperti jururawat, doktor, bidan, dan lain-lain) berada di lokasi yang ideal untuk mengenal pasti dan memberi sokongan kepada wanita yang dipengaruhi oleh IPV. Banyak tetapan penjagaan kesihatan memberikan garis panduan atau latihan klinikal atau kedua-duanya mengenai cara mengenal pasti dan respon kepada IPV. Kami ingin mengetahui perbezaan latihan mempengaruhi sikap, pengetahuan dan respon HCP yang berkaitan dengan IPV, termasuk penjagaan yang diberikan kepada wanita yang terkena IPV dan sama ada ia menambah baikan hasil kesihatan mereka, termasuk kesihatan mental mereka, atau membuat perbezaan terhadap pendedahan mereka kepada IPV.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 19 percubaan yang membandingkan latihan IPV dengan tanpa latihan, latihan yang biasa, atau latihan lain yang termasuk dalam ulasan ini, dengan 1662 peserta yang sedang berlatih atau pelajar / doktor pelatih, jururawat, bidan, doktor gigi, dan pekerja sosial / kaunselor. Tiga perempat daripada semua kajian dijalankan di Amerika Syarikat, dengan satu kajian dari Australia, Iran, Mexico, Turki dan Belanda. Sebilangan besar kajian mendapat sokongan kewangan universiti atau kerajaan untuk menyelesaikan penyelidikan.

Kajian berbeza sangat dalam jenis latihan IPV yang diberikan, dalam kandungan dan kaedah penyampaian. Kajian berbeza dalam cara mereka mengukur hasil latihan dan titik waktu susulan. Sebilangan besar latihan IPV merangkumi jenis dan definisi IPV, kelaziman dan faktor risiko, dan berusaha untuk mencabar mitos dan maklumat yang salah. Senario klinikal sering digunakan sebagai alat pembelajaran, menggariskan presentasi pesakit, dan latihan kemahiran melibatkan belajar cara bertanya kepada wanita tentang IPV, bagaimana memberi respon dengan mengesahkan pengalaman mereka, mendokumentasikan dengan tepat, membincangkan perancangan keselamatan dan merujuk wanita ke perkhidmatan sokongan.

Keputusan utama dengan penilaian kepastian bukti

Berbanding dengan tidak ada latihan, plasebo atau senarai tunggu, latihan IPV mungkin mempunyai kesan positif terhadap sikap HCP terhadap mangsa IPV yang masih hidup. Latihan dapat meningkatkan pengetahuan mereka, dan kesediaan untuk bertindak balas terhadap mangsa IPV yang masih hidup, tetapi buktinya sangat tidak pasti. Terdapat bukti yang terhad bahawa beberapa jenis latihan IPV dapat menyebabkan peningkatan dalam pengenalpastian, perancangan keselamatan dan dokumentasi IPV, tetapi penemuannya tidak konsisten, dan kebanyakan kajian melaporkan sedikit atau tidak ada kesan latihan terhadap hasil ini. Latihan mungkin tidak memberi perbezaan kepada amalan rujukan. Tidak ada kajian tanpa latihan, plasebo atau senarai tunggu dalam kumpulan perbandingan, menilai hasil kesihatan mental mangsa IPV. Tiada kesan sampingan yang dilaporkan dalam kajian-kajian ini.

Kajian yang membandingkan latihan HCP dengan latihan seperti biasa atau sub-komponen latihan biasanya tidak menunjukkan perbezaan dalam sikap HCP, perancangan keselamatan, dan rujukan kepada perkhidmatan atau hasil kesihatan mental bagi wanita. Bukti itu tidak konsisten berkenaan kesediaan pengamal kesihatan untuk memberi respon, respon sebenar mereka dan perubahan dalam pengetahuan IPV.

Secara keseluruhannya, kepastian bukti keberkesanan melatih HCP dalam cara memberi respon kepada IPV adalah rendah hingga sangat rendah. Penyelidikan selanjutnya harus merangkumi kajian yang berkualiti lebih tinggi, dengan kaedah yang lebih jelas untuk mengukur hasil secara objektif (sebenar daripada yang dibayangkan), dengan penekanan pada perubahan tingkah laku dalam HCP, dan kesejahteraan wanita yang terselamat dari IPV.

Maklumat terkini mengenai ulasan

Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Le Er (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2021). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information