Apakah matlamat ulasan ini?
Dalam ulasan Cochrane ini, kami berhasrat untuk mengetahui sama ada bekas pesakit kanser yang menerima tiga jenis penjagaan susulan yang berlainan, selepas mereka dirawat untuk kanser mereka, mempunyai hasil yang lebih baik berkaitan perubatan dan peribadi. Kami mengumpul dan menilai semua kajian yang relevan dan menjumpai 53 kajian.
Mesej utama
Susulan yang tidak diketuai oleh pakar, seperti susulan yang disediakan oleh doktor umum (GP) atau jururawat, menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan pada kualiti hidup berkaitan kesihatan, kegelisahan atau kemurungan apabila dibandingkan dengan susulan mengikut pakar. Kami tidak pasti mengenai kesannya terhadap kelangsungan hidup secara keseluruhan dan pengesanan kanser yang kembali selepas rawatan (berulang).
Susulan yang kurang intensif, seperti susulan dengan pemeriksaan atau ujian yang lebih sedikit, boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan kepada kelangsungan hidup secara keseluruhan tetapi mungkin kelewatan pengesanan kanser berulang apabila dibandingkan dengan susulan yang lebih intensif. Walau bagaimanapun, jenis kajian lain adalah diperlukan sebelum kami dapat memastikan tentang kesan pengesanan awal kanser berulang terhadap kelangsungan hidup. Kami juga tidak pasti tentang kesannya terhadap kualiti hidup berkaitan kesihatan, kegelisahan dan kemurungan.
Terdapat sedikit bukti untuk jenis terakhir susulan, yang menggabungkan komponen tambahan yang relevan untuk pengesanan kanser berulang, seperti pendidikan atau pemantauan gejala pesakit, atau rancangan penjagaan kelangsungan hidup.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Selepas dirawat untuk kanser, kebanyakan pesakit menerima rawatan susulan untuk mencari tanda-tanda kanser berulang. Sekiranya kanser itu kembali, adalah difikirkan lebih baik untuk mengesannya lebih awal, untuk membolehkan rawatan awal, yang dijangka dapat meningkatkan kelangsungan hidup pesakit. Susulan tradisional yang melibatkan lawatan tetap dengan pakar kanser dalam suasana hospital untuk pemeriksaan dan ujian boleh menjadi mahal dan membebankan pesakit. Strategi susulan yang lebih baru yang melibatkan penjaga bukan pakar, intensiti pemeriksaan yang berbeza, atau penambahan pelan penjagaan kelangsungan hidup pesakit telah dibangunkan dan diuji tetapi keberkesanannya tetap tidak jelas.
Tujuan ulasan kami adalah untuk mengetahui sama ada tiga jenis penjagaan susulan meningkatkan kelangsungan hidup, mengurangkan masa sehingga kanser berulang dikesan, dan meningkatkan hasil pesakit seperti kualiti hidup berkaitan kesihatan, kegelisahan dan kemurungan, serta kos. Jenis-jenis penjagaan susulan adalah: 1) yang tidak diketuai oleh pakar (cth. dipimpin oleh GP, yang dikendalikan oleh jururawat, rawatan penjagaan yang dimulakan pesakit atau rawatan berkongsi) berbanding susulan yang diketuai pakar; 2) kurang intensif berbanding susulan yang lebih intensif (berdasarkan kekerapan atau intensiti lawatan klinikal, pemeriksaan atau prosedur diagnostik); dan 3) susulan menggabungkan komponen penjagaan tambahan yang berkaitan untuk pengesanan kanser berulang (cth. pendidikan atau pemantauan gejala pesakit, atau pelan penjagaan kelangsungan hidup) berbanding penjagaan biasa.
Apakah hasil utama ulasan ini?
Kami menganalisis 53 kajian, melibatkan 20,832 peserta dengan 12 jenis kanser di 15 negara yang berbeza, terutamanya di Eropah, Amerika Utara dan Australia. Semua kajian dijalankan sama ada dalam suasana hospital atau amalan am.
Apabila bekas pesakit kanser menerima rawatan susulan yang diketuai oleh bukan pakar, seperti GP dan jururawat:
- Kami tidak pasti jika keseluruhan kelangsungan hidup terjejas atau jika kanser berulang dikesan lebih awal;
- Ia mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup berkaitan kesihatan dan kegelisahan dan tidak menghasilkan perbezaan untuk kemurungan pada 12 bulan selepas susulan;
- Kami tidak pasti terdapat perbezaan kos antara kedua-dua jenis strategi susulan.
Apabila pesakit kanser mendapat rawatan susulan yang kurang intensif, seperti pemeriksaan dan ujian yang kurang:
- Ia boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kelangsungan hidup secara keseluruhan tetapi mungkin kelewatan pada pengesanan kanser berulang;
- Kami tidak pasti jika ada perbezaan kepada kualiti kehidupan berkaitan kesihatan, kegelisahan dan kos. Kami tidak menemui sebarang kajian menilai kemurungan.
Apabila pesakit kanser menerima rawatan susulan dengan pendidikan tambahan mengenai gejala atau rancangan penjagaan kelangsungan hidup mereka:
- Kami tidak pasti bagaimana jenis penjagaan susulan ini meningkatkan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan, kegelisahan atau kemurungan, atau jika meningkatkan kos penjagaan. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai kelangsungan hidup secara keseluruhan atau jika kanser berulang dikesan lebih awal.
Sejauh manakah ulasan ini dikemaskinikan?
Kami telah melihat kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 11 Disember 2018.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com