Soalan ulasan
Adakah trihexyphenidyl merupakan rawatan yang berguna untuk penghidap cerebral palsy yang mempunyai masalah pergerakan yang dipanggil dystonia?
Latar belakang
Cerebral palsy adalah keadaan biasa yang merangkumi pelbagai masalah pergerakan. Satu masalah pergerakan biasa ialah dystonia, yang menyukarkan orang yang mengalami cerebral palsy untuk mengawal pergerakan mereka. Mereka mengalami kontraksi otot yang tidak diingini – dan selalunya menyakitkan dan meresahkan – yang tidak dapat dikawal. Kontraksi mengurangkan keupayaan orang untuk bergerak, melakukan aktiviti penjagaan diri, bercakap dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian.
Doktor sering menggunakan ubat untuk merawat keadaan sukar ini, termasuk trihexyphenidyl. Walau bagaimanapun, semua faedah dan kemudaratan penggunaan trihexyphenidyl untuk individu yang mengalami cerebral palsy dan dystonia adalah masih tidak diketahui.
Ciri-ciri kajian
Pada Mei 2017, kami mencari semua kajian klinikal yang menyiasat keberkesanan trihexyphenidyl untuk penghidap cerebral palsy dystonic. Kami memasukkan satu kajian Australia yang melibatkan 16 kanak-kanak (10 lelaki, 6 perempuan) dengan cerebral palsy dan dystonia. Mereka mempunyai purata umur sembilan tahun.
Kanak-kanak itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang berbeza. Kedua-dua kumpulan mengambil 12 minggu trihexyphenidyl dan 12 minggu plasebo (sesuatu yang kelihatan sama seperti trihexyphenidyl tetapi tanpa bahan aktif), dengan rehat 4-minggu di antara di mana mereka tidak menerima kedua-duanya. Satu-satunya perbezaan antara kumpulan adalah bahawa satu kumpulan bermula dengan trihexyphenidyl dan kemudian menerima plasebo, dan kumpulan lain bermula dengan plasebo dan kemudian menerima trihexyphenidyl.
Keputusan utama
Kami tidak menemui bukti bahawa trihexyphenidyl berkesan untuk mengurangkan dystonia atau meningkatkan fungsi lengan pada kanak-kanak dengan cerebral palsy dan dystonia. Trihexyphenidyl mungkin dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan sampingan (gelisah, sembelit, mulut kering dan kurang tidur). Terdapat beberapa bukti bahawa trihexyphenidyl boleh meningkatkan matlamat individu yang ditetapkan oleh kanak-kanak dan keluarga di sekitar penyertaan yang lebih baik dalam aktiviti kehidupan seharian. Kajian itu tidak mengukur kesakitan atau kualiti hidup.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah kerana satu kajian melibatkan sedikit kanak-kanak dan tiada kajian lain untuk menyokong penemuan. Oleh itu, kami tidak pasti tentang keberkesanan trihexyphenidyl dalam mengurangkan dystonia atau meningkatkan fungsi lengan dan penyertaan dalam aktiviti seharian penghidap cerebral palsy dan dystonia.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my