Intervensi untuk menguruskan osteonekrosis rahang berkaitan ubat-ubatan (kerosakan tulang yang teruk)

Soalan ulasan

Apakah kesan pelbagai intervensi sama ada untuk mengelak atau merawat osteonekrosis rahang yang berkaitan ubat berbanding satu sama lain atau berbanding tanpa rawatan atau intervensi yang tidak aktif ('plasebo')?

Latar belakang

Osteonekrosis rahang yang berkaitan ubat (MRONJ) ialah kerosakan tulang rahang yang teruk dalam kalangan sesetengah orang sebagai reaksi kepada ubat-ubatan tertentu yang lazim diguna dalam rawatan kanser dan osteoporosis (penyakit yang menjadikan tulang rapuh). Ia adalah keadaan menyakitkan yang sukar dirawat. MRONJ jarang berlaku dalam kalangan orang yang mengambil beberapa ubat untuk osteoporosis. Walau bagaimanapun, dalam kalangan orang yang menerima ubatan ini dalam dos yang lebih tinggi untuk keadaan berkaitan kanser, risiko MRONJ mungkin lebih tinggi dan telah dilaporkan berlaku seramai lima dalam 100 individu. Penting untuk mengenal pasti langkah pencegahan yang berkesan untuk mengurangkan risiko MRONJ, dan rawatan yang lebih baik bagi mereka yang menghidapinya.

Ini adalah kemas kini ulasan kami yang pertama kali diterbitkan pada 2017. Ia berdasarkan carian untuk artikel-artikel yang paling baru dijalankan pada Jun 2021.

Ciri-ciri kajian

Bekerja dengan Kesihatan Oral Cochrane , para penyelidik mencari kajian-kajian yang diterbitkan hingga Jun 2021. Kami temui lima kajian yang memfokus pencegahan MRONJ dan lapan kajian yang menguji rawatan untuk MRONJ. Kajian-kajian melibatkan 1668 orang dewasa, kajian terkecil dengan 13 peserta dan kajian terbesar dengan 700 peserta. Kebanyakan peserta kajian adalah wanita, tetapi satu kajian adalah lelaki dengan kanser prostat yang menerima infusi bisphosphonate (diberikan melalui titisan ke dalam vena). Semua kecuali dua kajian hanya melibatkan peserta yang dirawat dengan bisphosphonate (diguna untuk menyokong rawatan dan mengurangkan risiko fraktur dan sakit tulang), walaupun beberapa ubat lain juga dikenali untuk mendorong MRONJ. Dua kajian juga menyertakan pesakit yang dirawat dengan bifosfonat atau denosumab.

Keputusan utama

Satu kajian memberi bukti kepastian yang sangat rendah pemeriksaan pergigian pada selang tiga bulan dan rawatan pencegahan (antibiotik sebelum cabutan gigi dan penggunaan teknik penutupan luka yang mengelak pendedahan dan pencemaran tulang) adalah lebih berkesan berbanding penjagaan standard untuk mengurangkan bilangan kes MRONJ dalam sekumpulan orang yang menerima bisphosphonates intravena untuk keadaan berkaitan kanser. Dalam kumpulan eksperimen yang menerima penjagaan pencegahan yang terdiri daripada antibiotik dan penutupan luka khusus, sedikit kurang orang yang mengalami MRONJ: dua peserta setiap 100 yang menjalani pemantauan rapi mendapat MRONJ berbanding 23 peserta setiap 100 dalam kumpulan kawalan (penjagaan standard).

Tiadat cukup bukti untuk membuat kesimpulan penggunaan intervensi lain yang disiasat akan mengurangkan risiko MRONJ atau memperbaik penyembuhan MRONJ.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah. Ini disebabkan oleh batasan tentang cara kajian dirancang dan dilaksanakan. Sebagai contoh, sesetengah peserta menukar kumpulan semasa kajian, sesetengah peserta tidak melengkapkan kajian, dan hasil-hasil diukur pada susulan yang berbeza. Di samping itu, kebanyakan kajian hanya mempunyai bilangan peserta yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Univesiti Manipal Malaysa). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information