Antibiotik untuk mencegah jangkitan selepas pembedahan untuk merawat tekanan inkontinensia air kencing pada wanita

Soalan ulasan

Adakah antibiotik selamat dan berkesan untuk mencegah jangkitan pada wanita yang mengalami tekanan inkontinensia air kencing yang sedang menjalani pembedahan kontinensia?

Latar belakang

Tekanan inkontinens air kencing (SUI) ditakrifkan sebagai kebocoran air kencing yang tidak terkawal apabila tekanan di dalam perut meningkat secara tiba-tiba, seperti semasa batuk, bersin atau ketawa. Pembedahan kontinensia adalah salah satu rawatan untuk SUI. Terdapat dua jenis prosedur: pembedahan terbuka, seperti kolposuspensi (hirisan dalam abdomen untuk meletakkan jahitan dalam faraj pada kedua-dua sisi uretra, tiub yang mengalirkan air kencing daripada pundi kencing anda), atau prosedur yang kurang invasif, seperti kolposuspensi laparoskopi (menggunakan hirisan kecil untuk memasukkan jahitan), prosedur anduh (menggunakan pita atau mesh untuk membentuk anduh di sekeliling uretra untuk mengangkatnya kembali ke kedudukan normal dan melekat pada dinding perut), atau suntikan agen bulking (cth kolagen) ke dalam leher pundi kencing. Jangkitan pada tapak pembedahan atau saluran kencing adalah komplikasi biasa selepas semua pembedahan kontinensia. Antibiotik pencegahan mempunyai potensi untuk mencegah jangkitan luka selepas pembedahan, tetapi bukti sokongan masih terhad.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian terkawal rawak (RCT; setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk menerima rawatan yang sedang diuji), dan kuasi-RCT (rawatan sedang diuji tetapi tidak semua orang mempunyai peluang yang sama untuk menerimanya) sehingga 18 Mac 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian (dalam tujuh laporan) yang melibatkan sejumlah 390 wanita yang menjalani satu daripada dua pembedahan kontinensia yang berbeza dan diberi satu daripada tiga dos antibiotik yang berbeza (cefazolin) atau plasebo atau tiada rawatan. Saiz sampel di dalam kajian adalah dari 26 hingga 305 wanita. Tiada kajian yang disertakan menunjukkan dengan jelas masa penilaian hasil. Purata umur wanita adalah dari 45 hingga 54 tahun.

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian tidak menerima pembiayaan; kajian ketiga tidak memberikan maklumat pembiayaan.

Keputusan utama

Antibiotik pencegahan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada jangkitan tapak pembedahan, jangkitan saluran kencing atau bacteriuria (kehadiran bakteria dalam air kencing), demam selepas pembedahan atau kemunculan pita tiruan atau mesh yang digunakan dalam pembedahan melalui kulit di bawah uretra, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Tiada kajian yang disertakan melaporkan data tentang kesan buruk, sepsis atau bakteremia yang berkaitan dengan pengambilan antibiotik, atau rintangan antibiotik bakteria.

Kepastian bukti

Kami tidak pasti tentang penemuan kami kerana bukti ini hanya berdasarkan tiga kajian kecil. Setiap kajian menilai keberkesanan antibiotik pencegahan dalam prosedur pembedahan, dos antibiotik dan hasil yang berbeza. Tambahan pula, setiap kajian yang disertakan mempunyai saiz sampel yang kecil dan sesetengahnya dijalankan dengan cara yang mungkin memasukkan kelemahan ke dalam keputusan mereka. Penemuan kami mungkin berubah apabila hasil daripada RCT yang berkualiti lebih baik dan besar menjadi tersedia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information