Mesej utama
Kami tidak menemui sebarang kajian perubatan yang diterbitkan atau berterusan untuk menjawab soalan kami.
Kajian masa depan diperlukan untuk menilai kegunaan mengasingkan atau mengumpulkan bayi baru lahir dalam mengurangkan penyebaran jangkitan serta kos kewangan untuk berbuat demikian.
Apakah jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan?
Jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan (HAI) ialah jangkitan yang dialami oleh pesakit semasa berada di hospital, yang tidak ada sebelum kemasukan ke hospital. Biasanya berlaku semasa menerima rawatan perubatan atau pembedahan walaupun banyak HAI boleh dicegah. HAI juga termasuk jangkitan pada bayi baru lahir yang berlaku sekitar masa bersalin.
Mengapakah mencegah HAI penting pada bayi yang baru lahir?
HAI meningkatkan komplikasi kesihatan dan bahkan boleh membawa kepada kematian. Selain itu, HAI menyebabkan kos hospital meningkat.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada meletakkan bayi yang dijangkiti di dalam bilik berasingan (pengasingan bilik tunggal) atau dikumpulkan dan dijaga bersama (kohort), atau kedua-duanya akan mengurangkan penyebaran jangkitan daripada seorang bayi kepada yang lain.
Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian yang menilai pengasingan dan pengumpulan bayi sebagai tambahan kepada kaedah rutin kawalan jangkitan (cth. mencuci tangan, penggunaan gaun dan sarung tangan, dsb.).
Apakah yang telah kami dapati?
Walaupun amalan pengasingan bilik tunggal dan pengumpulan lazimnya diamalkan dalam unit bayi baru lahir, kami tidak menemui sebarang kajian terdahulu atau berterusan yang menilai manfaat langkah ini dalam mengurangkan penyebaran jangkitan. Kami mengesyorkan bahawa kajian yang difikirkan dengan teliti adalah diperlukan untuk menjawab soalan ulasan kami memandangkan kepentingan pencegahan jangkitan dan pengurangan kos penjagaan kesihatan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2022.
Diterjemahkan oleh Iffah Jamaluddin. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my