Apakah isunya?
Orang dengan kegagalan jantung (apabila jantung tidak mengepam darah dengan betul) sering memerlukan ubat untuk membantu mengatasi gejala-gejala seperti keletihan, pembengkakkan, dan masalah pernafasan. Kajian-kajian telah meneliti sama ada ubat-ubatan ini berbahaya atau membantu pesakit. Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini tidak menjelaskan sama ada rawatan ini boleh membantu orang dengan kegagalan jantung yang juga mempunyai masalah buah pinggang (apabila ginjal tidak membuang sisa dan cecair dari badan dengan betul).
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari semua kajian penyelidikan yang menilai rawatan yang berbeza untuk kegagalan jantung yang dijalankan sehingga September 2019. Kami menilai sama ada ubat-ubatan menghalang kematian atau kemasukan ke hospital, atau meningkatkan risiko kemudaratan, bagi mereka yang mengidap penyakit buah pinggang. Kami juga mengukur kepastian kesan ubat-ubatan ini pada badan dengan menggunakan sistem yang dipanggil "GRADE".
Apa yang kami temui?
Kami menemui 31 kajian yang melibatkan 23,762 orang yang mengalami kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik. Pesakit diberi sama ada ubat kegagalan jantung berbanding dengan penjagaan standard atau plasebo. Rawatan yang mereka terima telah diputuskan secara rawak. Walaupun terdapat banyak rawatan yang berbeza dikaji, malangnya, beberapa daripadanya menggunakan jenis ubat yang sama. Selain itu, terdapat pelbagai cara yang berlainan yang digunakan oleh penyelidik untuk mengkaji apa yang berlaku apabila pesakit mengambil ubat-ubatan ini. Oleh itu, kami tidak dapat menggabungkan kajian-kajian ini dan menjelaskan manfaat dan kemudaratan bagi setiap rawatan. Kajian-kajian yang sedia ada tidak memaklumkan dengan jelas sama ada ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kegagalan jantung dalam kalangan populasi umum adalah berkesan atau selamat bagi orang yang mempunyai kedua-dua kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik.
Kesimpulan
Kami tidak dapat mencadangkan ubat kegagalan jantung yang terbaik untuk orang yang mengalami kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik. Kami memerlukan lebih banyak maklumat daripada kajian klinikal yang besar. Kebanyakan kajian kegagalan jantung tidak melaporkan kesan rawatan secara berasingan berdasarkan tahap fungsi buah pinggang. Mendapatkan maklumat ini daripada kajian yang sedia ada mungkin membantu untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara untuk merawat kegagalan jantung pada pesakit buah pinggang kronik.
Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my