Menyediakan sokongan pernafasan sebelum mengapit tali pusat pada bayi pramatang

Soalan ulasan: Adakah bayi pramatang mendapat faedah daripada sokongan pernafasan sebelum kord dikapit?

Latar Belakang: membenarkan bayi pramatang menerima darah dari plasenta selepas kelahiran dan sebelum pengapitan tali pusat mempunyai faedah kesihatan untuk bayi dan tidak berbahaya bagi ibu. Kebanyakan bayi akan mula bernafas atau menangis (atau kedua-duanya) sebelum kord dikapit. Walau bagaimanapun, sesetengah bayi tidak mempunyai pernafasan teratur pada masa ini. Selepas pengapitan kord, kebanyakkan bayi pramatang diberikan beberapa bentuk sokongan pernafasan seperti tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP). CPAP menggunakan tekanan udara rendah yang berterusan untuk memastikan saluran pernafasan terbuka pada bayi yang boleh bernafas sendiri. Persoalan untuk ulasan ini adalah sama ada ia bermanfaat untuk memulakan sokongan pernafasan sebelum kord dikapit.

Ciri-ciri kajian: Pengulas mencari pangkalan data perubatan dan menemui satu kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Bayi pramatang yang dilahirkan sebelum 32 minggu kehamilan (32 minggu dari hari pertama tempoh haid terakhir wanita hingga tarikh semasa) yang mengalami pengapitan tali pusat tertunda selama 60 saat selepas kelahiran dipilih secara rawak untuk memasuki sekumpulan bayi yang mendapat sokongan pernafasan dan sekumpulan bayi yang tidak mendapat sokongan pernafasan. Sokongan pernafasan diberikan selepas kelahiran bayi dan sebelum kord itu dikapit. Sokongan pernafasan merupakan CPAP untuk bayi yang bernafas sendiri atau menerapkan tekanan saluran udara yang terputus-putus untuk mengembangkan paru-paru pada bayi yang tidak bernafas dengan baik. Kebanyakan bayi yang dikaji (83%) dilahirkan melalui pembedahan caesarean.

Keputusan utama: kajian tunggal yang dimasukkan dalam ulasan tidak memberikan bukti yang mencukupi sama ada menyokong atau tidak penggunaan sokongan pernafasan sebelum pengapitan kord.

Kualiti bukti: Kualiti bukti adalah rendah, terutamanya kerana lebih banyak bayi perlu dikaji untuk kesimpulan yang pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Ahmad FIlza Ismai (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information