Apakah anemia hemolitik autoimun primer (AIHA)?
Sel darah merah membawa oksigen ke seluruh bahagian badan. Dalam kalangan orang yang sihat, sel darah merah hidup sekitar 120 hari. Dalam AIHA sistem imun tubuh tidak berfungsi dengan baik dan merosakkan sel darah merah lebih cepat daripada yang boleh dibuat oleh badan. AIHA primer adalah apabila seseorang tidak mempunyai keadaan lain yang menyebabkan AIHA.
AIHA primer terbentuk secara berbeza dalam kalangan berlainan orang. Orang sering memerlukan transfusi darah berulang untuk memastikan paras sel darah merahnya tetap normal. Penyakit ini mungkin mengancam nyawa sesetengah orang.
Apakah matlamat ulasan ini dan mengapa ia penting?
Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui apa yang diberitahu oleh kajian-kajian penyelidikan tentang keselamatan dan keberkesanan merawat AIHA primer dengan agen modulasi imun. Agen modulasi imun mengubah cara sistem imun anda berfungsi. Agen ini bukan penawar tetapi dapat memperlambat AIHA.
Walau bagaimanapun, berapa baikkah agen ini berfungsi? Adakah sesetengahnya lebih selamat daripada yang lain? Jawapan ini penting untuk membantu doktor dan pesakit membuat keputusan rawatan berdasarkan bukti.
Apakah kajian-kajian yang ulasan ini dapati?
Kami melihat kajian-kajian yang selesai pada 7 Mac 2021. Kami mendapati dua kajian yang melihat agen modulasi imun yang disebut rituximab, yang mensasarkan sel-sel imun, yang disebut sebagai sel-B.
Kajian-kajian membandingkan dua kumpulan dewasa dengan AIHA primer yang dirawat:
· Dengan rituximab dan steroid
· Dengan steroid sahaja
Penting untuk tahu kajian-kajian ini sangat kecil, melibatkan sejumlah 96 orang. Reka bentuk satu kajian bermasalah yang mungkin mempengaruhi keputusan.
Pemulihan selepas rawatan
· Pada 12 bulan selepas memulakan rawatan, rituximab dan steroid dilihat membantu lebih ramai orang pulih dari AIHA primer berbanding steroid sahaja. Para penyelidik berpendapat kualiti penemuan penyelidikan ini rendah. Mereka berpendapat penyelidikan masa depan cenderung mengubah keputusan-keputusan ini.
· Pada enam bulan setelah memulakan rawatan, tiada perbezaan pemulihan antara orang dewasa yang dirawat dengan rituximab dan steroid dan mereka yang dirawat dengan steroid sahaja.
Kesan sampingan rawatan
· Kesan sampingan antara kedua-dua kumpulan adalah sama.
Apa inti ulasan ini?
Rituximab dan steroid mungkin membantu lebih ramai orang untuk pulih sepenuhnya daripada AIHA yang baru didiagnos berbanding steroid sahaja. Kesan sampingan hampir sama untuk kedua-dua rawatan. Tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui dengan pasti.
Doktor menawarkan rawatan lain untuk AIHA primer yang mungkin membantu, tetapi terdapat kekurangan penyelidikan tentang berapa baik ianya berfungsi. Buat masa ini, berdasarkan sedikit maklumat yang ada, pesakit dan doktor harus membuat keputusan dengan berhati-hati tentang rawatan AIHA primer.
Diterjemah oleh Amirul Iman (Persatuan Penterjemah Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochane@rcsiucd.edu.my