Pengkondisyenan iskemik jarak jauh untuk mencegah dan merawat strok yang disebabkan oleh aliran darah

Soalan ulasan

Apakah manfaat menggunakan pengkondisyenan iskemik jarak jauh (terapi bukan invasif yang melibatkan pengembungan kaf tekanan darah untuk mengurangkan aliran darah di lengan dan kaki, dan melepaskan darah tersebut ke seluruh badan) dalam kalangan orang dengan strok atau mereka yang berisiko strok akibat aliran darah rendah?

Latar belakang

Strok ialah punca utama ketidakupayaan orang dewasa di seluruh dunia, dan strok iskemia (akibat kekurangan aliran darah) menyumbang kepada kebanyakan strok. Hampir satu perempat individu dengan strok iskemia akan mengalami kejadian lanjutan (strok berulang). Pengkondisyenan iskemik jarak jauh (RIC) adalah strategi untuk melindungi dan mencegah kerosakan tisu otak dengan memperbaik keupayaannya menghadapi kekurangan aliran darah. Kajian-kajian mencadangkan RIC mungkin bermanfaat untuk mencegah dan merawat strok iskemia.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menyertakan tujuh kajian (khususnya kajian rawak terkawal), melibatkan 735 orang. Kajian-kajian membandingkan RIC dengan RIC palsu atau pengurusan perubatan dalam kalangan orang dengan strok iskemia atau berisiko strok iskemia. Tiga kajian (melibatkan 371 orang) layak untuk analisis RIC kami bagi mencegah strok iskemia, dan empat kajian lagi (melibatkan 364 orang) layak untuk analisis RIC kami untuk merawat strok iskemia. Kajian-kajian yang disertakan dijalankan di China, Denmark dan UK.

Keputusan utama

Keputusan ulasan ini adalah terkini sehingga Januari 2018. Dalam kalangan orang dengan arteri yang sempit di otak, RIC mungkin dapat mengurangkan risiko strok berulang. Dalam kalangan orang yang dirawat dengan sten (pemasukan tiub logam atau plastik) untuk arteri yang sempit di leher, RIC mungkin mengurangkan saiz kecederaan baru otak yang akibat kekurangan aliran darah. Walau bagaimanapun, kesan terhadap hasil klinikal (strok dan kematian) adalah tidak jelas. Kejadian buruk adalah lebih lazim dalam kumpulan RIC tetapi tidak dilaporkan teruk.

Dalam kalangan orang dengan strok iskemia akut (yang berlaku beberapa jam dari permulaan simptom) yang menerima ubat pelarut bekuan, kami dapati RIC boleh meningkatkan risiko kematian atau kebergantungan (perlukan bantuan orang lain). Kami dapati tiada perbezaan signifikan dalam saiz strok akhir. Dalam kalangan orang dengan strok iskemia akut dan penyakit saluran darah otak kronik, RIC tidak mempengaruhi ukuran fungsi saraf, mood, atau keupayaan berfikir.

Kualiti bukti

Terdapat bukti berkualiti rendah yang menunjukkan RIC boleh membantu mencegah strok ulangan dalam kalangan orang dengan arteri sempit dan mungkin meningkatkan kematian atau kebergantungan dalam kalangan orang dengan strok iskemia akut yang menerima ubat pelarut bekuan. Bukti tersebut kurang jelas tentang pengurangan isipadu strok (saiz lesi otak akibat aliran darah rendah). Penyelidikan lanjutan mungkin memberi impak penting terhadap keyakinan kami dalam penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information