Ada pelbagai cara yang dapat membantu ibu-ibu mengandung dari mengalami kelahiran prematur.

Apakah isunya?

Kelahiran pra-matang atau kelahiran sebelum 37 minggu kehamilan, merupakan penyebab utama kematian bayi baru lahir dan juga mengakibatkan hilang upaya yang berpanjangan kepada bayi yang hidup. Pelbagai cara telah dilakukan oleh petugas kesihatan untuk mengelakkan sesorang wanita hamil itu daripada melahirkan bayi terlalu awal. Wanita-wanita hamil ini telah digalakkan untuk mengambil vitamin, mengurangkan merokok, pengambilan ubat-ubatan jika mendapat jangkitan ataumengunjungi pusat penjagaan kesihatan secara regular. Ulasan ini melihat kepada pelbagai cara (atau intervensi) untuk menghalang kelahiran pra-matang. Kami telah mencari beberapa artikel di Perpustakaan Cochrane pada 2 November 2017.

Mengapakah ini penting?

Kelahiran pra-matang ini memudaratkan dan meningkatkan kos kepada wanita, keluarga dan sistem kesihatan. Tujuan kami di sini adalah untuk meringkaskan maklumat yang berguna kepada ibu-ibu mengandung, para petugas kesihatan dan juga para penyelidik.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami sertakan 83 ulasan sistematik bersama bukti untuk menunjukkan samada intervensi boleh atautidak boleh mengurangkan kelahiran pra-matang atau kematian bayi. Tujuh puluh ulasan mempunyai maklumat berkenaan kelahiran pra-matang. Kami mengkategorikan maklumat yang diperolehi sebagai: jelas bermanfaat atau bahaya, tidak kesan; mungkin bermanfaat atau bahaya; atau kesannya tidak pasti.

Hasil: kelahiran pra-matang

Jelas bermanfaat.

Kami yakin bahawa beberapa intervensi berikut dapat membantu golongan wanita hamil tertentu daripada mengalami kelahiran awal: model penjagaan berterusan yang diketuai oleh bidan berbanding dengan model-model penjagaan lain kepada semua wanita; saringan untuk infeksi trek genital; supplemen zink kepada wanita hamil yang tidak menghidap penyakit sistemik. Teknik jahitan pada pangkal rahim hanya bermanfaat kepada wanita yang berisiko tinggi melahirkan bayi prematur dan bagi kehamilan bayi tunggal.

Jelas bahaya.

Kami mendapati tiada rawatan yang dapat meningkatkan risiko bagi wanita melahirkan bayi pra-matang.

Mungkin bermanfaat.

Intervensi berikut mungkin dapat membantu sesetengah wanita hamil dan menghalang kelahiran prematur, tetapi kami kurang yakin dengan keputusannya: kumpulan penjagaan antenatal kepada semua wanita hamil; pemberian antibiotik kepada wanita hamil yang mengalami jangkitan bakteria dalam urin tanpa mengalami apa-apa simptom; intervensi farmakologikal untuk berhenti merokok; pengambilan supplemen Vitamin D sahaja kepada wanita yang tidak mengalami masalah kesihatan.

Mungkin bahaya.

Kami mendapati ada dua intervensi yang boleh memudaratkan sesetengah golongan wanita hamil; pengambilan suntikan progesteron intramuskular kepada wanita yang berisiko tinggi untuk melahirkan bayi pra-matang berkaitan kehamilan kembar; pengambilan supplemen Vitamin D, kalsium dan mineral lain kepada wanita hamil yang tidak mempunyai masalah kesihatan.

Hasil: kematian perinatal.

Jelas bermanfaat.

Kami yakin dengan bukti yang dinyatakan bahawa model penjagaan berterusan yang diketuai bidan kepada semua wanita hamil; penggunaan Doppler bagi memantau tali pusat dan fetus bagi kes wanita hamil yang berisiko tinggi; intervensi ini mengurangkan risiko wanita tersebut mengalami kematian bayi.

Jelas bahaya.

Kami mendapati tiada intervensi yang meningkatkan risiko wanita mengalami kematian bayi.

Mungkin bermanfaat.

Teknik jahitan servikal hanya bermanfaat kepada wanita yang berisiko tinggi melahirkan bayi pra-matang dan bagi kehamilan tunggal.

Mungkin bahaya.

Satu ulasan melaporkan mungkin terdapat bahaya jika lawatan antenatal yang kurang, walaupun dalam kalangan wanita yang tiada masalah atau berisiko rendah. Wanita hamil dalam ulasan ini telah menerima penjagaan antenatal yang terhad.

Hasil: kelahiran prematur dan kematian perinatal

Kesan bahaya atau manfaatnya tidak diketahui.

Untuk wanita hamil yang berisiko tinggi untuk mengalami kelahiran pra-matang atas apa-apa penyebab termasuklah kehamilan kembar; tidaklah diketahui samada pengawasan keadaan rahim di rumah bermanfaat atau bahaya. Bagi wanita hamil yang berisiko tinggi dengan kehamilan kembar: berehat di katil, penggunaan betamimetik oral secara profilaksis, rawatan ubat progesteron pada vagina dan jahitan pada pangkal rahim adalah tidak diketahui samada ianya bermanfaat atau bahaya.

Apakah maksudnya?

Terdapat maklumat berguna di Perpustakaan Cochrane kepada wanita, doktor, bidan dan juga penyelidik yang berminat untuk mengelakkan kelahiran awal. Kami telah merumuskan keputusan ulasan sistematik dan menjelaskan penggunaan pelbagai strategi untuk menghalang kelahiran awal dan kematian bayi. Kami telah menyusun beberapa informasi dalam bentuk perangkaan dan graf untuk menunjukkan keyakinan kami terhadap keputusan yang didapati dan juga untuk memberitahu pembaca tentang beberap rawatan yang berpotensi bagi sesetengah kumpulan wanita hamil yang spesifik .

Ulasan yang kami mendapati tiada maklumat terkini yang penting di Perpustakaan Cochrane dari segi rawatan pesari pada pangkal rahim, progesteron pada vagina atau pemeriksaan pangkal rahim menggunakan imbasan ultrabunyi. Kami dapati tiada bukti yang berkualiti tinggi mengenai wanita yang berisiko tinggi mengalami kelahiran prematur disebabkan kehamilan kembar. Adalah penting bagi wanita hamil dan juga petugas kesihatan mengambil berat dan meneliti samada strategi spesifik untuk menghalang kelahiran prematur boleh memberikan kebaikan kepada wanita secara individu, atau untuk golongan wanita yang tertentu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information