Intervensi penurunan berat badan dalam kalangan pemandiri kanser endometrium

Latar belakang

Kanser endometrium atau rahim adalah kanser yang biasa dalam kalangan wanita dan bilangan kes semakin meningkat. Sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kadar obesiti, yang merupakan faktor risiko utama untuk penyakit ini. Walaupun kemandirian selepas kanser endometrium secara amnya sangat baik jika didiagnosa di peringkat awal, wanita yang terlibat berkemungkinan lebih tinggi untuk mati lebih awal disebabkan peningkatan risiko serangan jantung dan strok, serta mempunyai kualiti hidup yang lebih rendah.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin menilai bukti untuk intervensi penurunan berat badan dalam kalangan pemandiri kanser endometrium yang berlebihan berat badan atau obes bagi menentukan sama ada ia bermanfaat berbanding dengan penjagaan biasa.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari dalam pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang direka bentuk dengan baik (dipanggil kajian terkawal rawak) untuk intervensi (rawatan) yang membantu penurunan berat badan dalam kalangan wanita dengan kanser endometrium yang berlebihan berat badan atau obes, yang sedang menjalani rawatan atau sebelumnya dirawat untuk kanser endometrium berbanding dengan mana-mana intervensi lain, penjagaan biasa, atau plasebo (rawatan palsu).

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 12 kajian terkawal rawak dengan wanita diperuntukkan secara rawak untuk menerima satu daripada beberapa intervensi. Ujian menyertakan 610 wanita dengan kanser endometrium yang berlebihan berat badan atau obes. Kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Kesemuanya membandingkan nasihat gaya hidup (diet dan senaman) serta teknik bantu diri (bagi menggalakkan pematuhan terhadap nasihat) dengan penjagaan biasa.

Keputusan utama
Dengan had batasan dalam kajian yang disertakan, kami mendapati tiada manfaat bagi pemandiri kanser endometrium yang berlebihan berat badan atau obes untuk menerima nasihat gaya hidup dari segi pemandirian, kejadian kardiovaskular (contohnya, serangan jantung atau strok) atau kualiti hidup, walaupun intervensi tersebut tidak dikaitkan dengan mudarat yang ketara atau serius terhadap peserta. Tidak jelas sama ada intervensi ini meningkatkan simptom muskuloskeletal (contohnya, sakit lutut dan kaki serta kelemahan otot), kerana hanya satu daripada lapan kajian yang melihat simptom ini ada melaporkan sebarang kejadian. Walaupun sesetengah wanita turun berat badan dengan intervensi ini, sesetengah yang lain tidak, bermakna secara keseluruhannya terdapat sedikit atau tiada manfaat.

Apakah batasan bukti?
Kualiti bagi kajian yang disertakan adalah rendah atau sangat rendah, dan kesemuanya adalah kecil dari segi bilangan peserta, dengan tempoh susulan yang singkat, dan tidak direka khususnya untuk melihat kesan intervensi terhadap kemandirian atau kesan jangka panjang yang lain. Lebih kajian-kajian yang berkualiti tinggi, dengan tempoh susulan yang sesuai, adalah diperlukan dalam bidang ini. Terdapat tujuh kajian sedang berlangsung yang mungkin menambahkan pengetahuan kita.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Jun 2022.

Nota terjemahan: 

DIterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information