Dwi antibiotik untuk bronchiectasis

Latar belakang soalan

Bronchiectasis adalah penyakit paru-paru yang melibatkan saluran udara yang tidak normal, menyebabkan jangkitan dada berulang, dan dikaitkan dengan kadar kematian dua kali ganda lebih berbanding populasi umum. Walaupun sebelumnya dianggap sebagai penyakit yang jarang terjadi, jumlahnya kelihatan meningkat, terutama bagi mereka yang berusia lebih dari 75 tahun di negara berpendapatan rendah/sederhana. Antibiotik adalah terapi utama untuk jangkitan dada, tetapi penggunaannya harus ditimbang terhadap kemungkinan kesan sampingan dan risiko peningkatan rintangan terhadap terapi antibiotik. Salah satu strategi untuk meningkatkan tindak balas dan/atau mengurangkan rintangan terhadap antibiotik melibatkan pemberian dua agen antibiotik pada masa yang sama: terapi dwi antibiotik. Ulasan ini bertujuan untuk menilai kesan dwi antibiotik terhadap rawatan orang dewasa dan kanak-kanak dengan bronchiectasis.

Ciri-ciri kajian

Pada bulan Oktober 2017, kami mengenal pasti dua kajian relevan yang membandingkan dwi terapi oral beserta sedutan berbanding terapi oral sahaja. Mereka memasukkan jumlah 118 peserta dengan purata umur 62.8 tahun. Satu kajian membandingkan tobramycin sedutan beserta ciprofloxacin oral dengan ciprofloxacin oral, dan kajian kedua membandingkan gentamicin sedutan beserta antibiotik sistemik (yang mempengaruhi seluruh tubuh, bukan hanya paru-paru) dengan antibiotik sistemik sahaja. Hanya satu ringkasan penyelidikan yang tersedia untuk yang terakhir. Kertas kajian yang diterbitkan tidak melaporkan sumber pembiayaan kajian

Keputusan utama

Hasil dari satu kajian kecil yang terdiri daripada 53 orang dewasa tidak menunjukkan bukti manfaat rawatan dengan dwi terapi oral beserta sedutan dari segi keberhasilan rawatan eksaserbasi, berlakunya kejadian serius yang tidak diingini, jumlah kahak, fungsi paru-paru, atau rintangan terhadap rawatan antibiotik. Namun, kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membenarkan kesimpulan yang diyakini mengenai penggunaannya.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah sangat lemah, sebahagian besarnya kerana salah satu kajian tidak dijelaskan dengan baik dan hanya menyertakan sedikit peserta. Maklumat mengenai eksaserbasi, kemampuan bersenam, dan kualiti hidup adalah tidak dilaporkan. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang membandingkan jenis dwi terapi antibiotik yang lain, dan tiada kajian yang menyertakan kanak-kanak. Oleh itu terdapat ketidakpastian mengenai penggunaan dwi antibiotik, dan kajian berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk mengkaji peranan dwi antibiotik dalam rawatan orang dewasa dan kanak-kanak dengan bronchiectasis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information