Intervensi psikologi untuk memupuk resilensi profesional penjagaan kesihatan

Latar belakang
Kerja profesional penjagaan kesihatan (contohnya jururawat, doktor, pakar psikologi, pekerja sosial) boleh mengakibatkan stress. Mereka sering memikul banyak tanggungjawab dan perlu bekerja dalam keadaan yang tertekan. Ini boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental mereka. Intervensi untuk melindungi mereka daripada keadaan stress sedemikian adalah dikenali sebagai intervensi resilensi. Ulasan sistematik sebelumnya menunjukkan bahawa intervensi resilensi dapat membantu pekerja mengatasi stress dan melindungi mereka daripada akibat buruk bagi kesihatan fizikal dan mental mereka.

Soalan ulasan
Adakah intervensi psikologi yang dirancang untuk memupuk resilensi dapat meningkatkan resilensi, kesihatan mental dan faktor lain yang berkaitan dengan resilensi antara profesional penjagaan kesihatan?

Tarikh carian
Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2019. Hasil carian terkini dari empat pangkalan data utama pada bulan Jun 2020 belum termasuk dalam tinjauan ini.

Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 44 percubaan terkawal secara rawak (kajian di mana peserta ditugaskan untuk melakukan intervensi atau kumpulan kawalan dengan prosedur yang serupa dengan melambung duit syiling). Kajian menguji pelbagai intervensi resilensi diantara peserta berusia secara purata antara 27 dan 52.4 tahun.

Profesional penjagaan kesihatan menjadi tumpuan 39 kajian, yang merangkumi sejumlah 6892 orang peserta. Empat kajian merangkumi sampel campuran (1000 orang peserta) profesional penjagaan kesihatan dan peserta bukan penjagaan kesihatan. Satu kajian latihan resilensi untuk pekerja kecemasan memeriksa 82 sukarelawan.

Daripada kajian yang dimasukkan, 19 membandingkan intervensi resilensi gabungan (misalnya terapi mindfulness dan kognitif-behavioral) berbanding dengan pembanding yang tidak spesifik (contohnya kawalan senarai tunggu yang menerima latihan selepas tempoh menunggu). Kebanyakan intervensi (30/44) dilakukan secara berkumpulan, dengan intensiti latihan yang tinggi melebihi 12 jam atau sesi (18/44), dan disampaikan secara bersemuka (iaitu melalui pertemuan secara langsung dan pertemuan bersemuka antara penyedia intervensi dan peserta; 29/44).

Kajian yang dimasukkan dibiayai oleh pelbagai sumber (misalnya hospital, universiti), atau gabungan sumber yang berlainan. Lima belas kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan mereka, dan satu kajian tidak mendapat sokongan dana.

Kepastian bukti
Sejumlah perkara telah mengurangkan kepastian mengenai sama ada intervensi resilensi berkesan atau tidak. Ini termasuk batasan dalam kaedah kajian, hasil yang berbeza di seluruh kajian, bilangan jumlah peserta adalah kecil dalam kebanyakan kajian, dan fakta penemuan adalah terhad kepada peserta, intervensi dan pembanding.

Keputusan utama
Bagi profesional penjagaan kesihatan, latihan resilensi dapat meningkatkan resilensi, dan dapat mengurangkan simptom kemurungan dan stress setelah berakhirnya rawatan. Intervensi resilensi nampaknya tidak mengurangkan simptom kegelisahan atau meningkatkan kesejahteraan. Walau bagaimanapun, bukti yang terdapat dalam tinjauan ini terhad dan sangat tidak pasti. Ini bermaksud, kini, keyakinan adalah kecil bahawa intervensi resilensi dapat membuat perbezaan terhadap hasil ini. Penyelidikan lanjut berkemungkinan besar akan mengubah keputusan ini.

Sangat sedikit kajian yang melaporkan kesan jangka panjang intervensi resilensi. Kajian menggunakan pelbagai ukuran dan reka bentuk intervensi yang berbeza, sehingga sukar untuk membuat kesimpulan umum dari penemuan tersebut. Potensi kejadian buruk hanya diperiksa dalam tiga kajian dan tidak menunjukkan kesan yang tidak diingini. Lebih banyak penyelidikan berkualiti metodologi yang tinggi dengan reka bentuk kajian yang lebih baik adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information