Latar belakang
Radioterapi (RT: rawatan sinar-x) ialah rawatan anti-kanser yang lazim yang sering menyembuhkan kanser, tetapi boleh merosakkan saluran gastrousus (pencernaan) dan menyebabkan kesan-kesan sampingan gastrousus jangka pendek (akut) dan jangka panjang (lewat) yang mengganggu, yang boleh bermula beberapa bulan atau tahun selepas radioterapi tamat. Kesan-kesan sampingan ini, seperti cirit-birit, keterdesakan najis (keperluan untuk membuang air besar yang tiba-tiba), dan inkontinens najis (kebocoran najis dari rektum) boleh merosakkan kualiti hidup (QoL) seseorang. Kami menjalankan ulasan ini untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang rawatan yang boleh diberikan kepada orang yang menjalani radioterapi pelvis (RT) untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan gastrousus.
Kaedah
Kami mencari penulisan perubatan sehingga 2 November 2017 dan memilih kajian rawak terkawal (RCTs) untuk sebarang rawatan pencegahan (intervensi) diberikan kepada orang yang menjalani RT untuk kanser pelvis (seperti kanser pundi kencing, endometrium, serviks, rektum dan prostat). Kami menggabungkan data dari RCTs yang serupa untuk menyediakan anggaran ringkasan bagi kesan intervensi dan menilai betapa yakinnya (pasti) kami tentang penemuan-penemuan tersebut, dengan menggunakan kaedah yang telah ditetapkan (GRADE).
Keputusan
Kami mengenal pasti 92 RCTs melibatkan 44 intervensi yang berbeza untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan gastrousus berkaitan RT. Ini termasuk kaedah baru (teknik RT) dan aspek lain pemberian RT (pengurangan dos RT, isi padu pundi kencing yang berbeza, pemberian RT pagi atau petang, gel yang disuntikkan atau belon (penjarak) yang dimasukkan ke dalam rektum untuk melindungi rektum, dan pilihan yang lain), ubat (aminosalicylates, amifostine, kortikosteroid, famotidine, octreotide, magnesium oksida, misoprostol, selenium, natrium butyrate, smectite, sucralfate, superoksida dismutase), dan rawatan bukan ubat (jenis diet yang berbeza, glutamin, kaunseling, teh hijau, dan pilihan yang lain). Kami menemui beberapa bukti menunjukkan intervensi yang tertentu tidak mempunyai peranan dalam mengurangkan kesan-kesan sampingan gastrousus (terutamanya suplemen glutamin, magnesium oksida oral dan suntikan octreotide). Walau bagaimanapun, kami menemui sedikit bukti yang baik (kepastian sederhana atau tinggi) untuk menunjukkan bahawa mana-mana pilihan adalah membantu. Pengecualian ini adalah bukti mengenai teknik RT, yang menunjukkan teknik RT konformal (moden) adalah lebih baik daripada teknik RT yang lama, dan bukti brachytherapy vagina (bola radioaktif kecil diletakkan di dalam vagina) untuk kanser endometrium awal mengurangkan kesan-kesan sampingan gastrousus akut berbanding dengan radioterapi pancaran luaran.
Kesimpulan
Kaedah RT moden (konformal) membantu dalam mengurangkan kesan-kesan sampingan berkaitan RT. Bukti tidak mencukupi untuk menyokong dengan kuat penggunaan sebarang pilihan ubat atau bukan ubat atau alat/pilihan pemberian RT yang lain untuk mengurangkan kesan gastrousus berkaitan RT. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.