Soalan ulasan
Kami mengulas bukti kesan terapi maklum balas bio sindrom terhadap kerengsaan usus (IBS)
Latar belakang
IBS adalah gangguan usus yang biasa terjadi, ianya melibatkan sakit perut dan perubahan pada frekuensi pembuangan najis atau konsistensi najis. Maklum balas bio adalah terapi di mana peserta menggunakan teknologi bagi mengesan proses yang bukan berada di bawah kawalan sedar (contohnya, kadar denyutan jantung, ketegangan otot dubur) untuk melihat bagaimana kesan fikiran yang tenang kepada perkara tersebut. Penyelidik telah mencadangkan bahawa dengan mendapatkan keadaan minda yang lebih tenang melalui alat maklum balas bio boleh membantu mengurangkan gejala IBS.
Ciri-ciri Kajian
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan antara rawatan maklum balas bio atau tanpa rawatan, rawatan palsu, atau rawatan aktif yang lain untuk IBS. Kami meneliti lapan kajian yang melibatkan 300 peserta dan menilai kesan maklum balas bio terhadap IBS. Setiap kajian ini melibatkan hanya orang dewasa, dan telah dijalankan di luar hospital. Tempoh kajian antara lapan minggu hingga enam bulan. Jenis peranti maklum balas bio adalah berbeza, dan melibatkan perubahan kadar denyutan jantung, suhu kulit atau rintangan elektrik kulit, dan ketegangan otot dubur.
Sumber dana kajian
Tiada satu pun daripada kajian yang dimasukkan mendedahkan sumber pembiayaan.
Keputusan utama
Hasil klinikal utama kami adalah peningkatan klinikal secara menyeluruh dan kualiti hidup.
Mengenai peningkatan keseluruhan, tiga kajian membandingkan maklum balas bio dengan tiada rawatan dan mereka telah mendapati bahawa maklum balas bio adalah sebahagian daripada program latihan relaksasi yang membawa kepada kawalan gejala yang lebih baik berbanding dengan tanpa rawatan (kepastian bukti yang sangat rendah). Dua daripada kajian ini juga membandingkan antara maklum balas bio dan kawalan perhatian dan mendapati perubahan minimum gejala, tetapi kemungkinan perubahan gejala ini hanya kebetulan tidak dapat ditolak kerana kepastian bukti yang sangat rendah. Satu kajian mendapati kawalan kadar denyutan jantung memberi kesan pengurangan gejala yang lebih besar berbanding dengan hipnoterapi (bukti kepastian rendah). Dua kajian membandingkan antara maklum balas bio dan kaunseling, kesimpulan yang dilihat bahawa apa-apa kesan yang dilihat adalah minimum dan kemungkinan kesan itu hanya kebetulan tidak dapat ditolak (bukti kepastian yang sangat rendah). Apabila maklum balas bio otot duburl dibandingkan dengan kawalan relaksasi, kawalan relaksasi lebih disukai. Penambahan maklum balas bio kepada terapi perubatan standard adalah lebih baik berbanding terapi perubatan sahaja dan juga terapi perubatan bersama maklum balas bio yang palsu (bukti kepastian yang rendah untuk kedua-dua keputusan).
Kualiti hidup
Satu kajian melihat secara khusus pada keseluruhan kualiti hidup. Kualiti hidup bertambah baik bagi mereka dalam kumpulan maklum balas bio dan mereka dalam kumpulan terapi kognitif, tetapi tidak ada perbezaan keseluruhan di antara kedua kumpulan ini.
Kesan sampingan
Hanya satu kajian yang melaporkan secara terperinci tentang kesan sampingan. Kajian ini melaporkan tiada kesan sampingan sama ada dalam kumpulan maklum balas bio ataupun kumpulan terapi kognitif.
Kepastian bukti
Kami menggunakan kriteria GRADE untuk menilai kepastian bukti bagi setiap penemuan ini. Ini adalah dari rendah hingga sangat rendah.
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2019.
Kesimpulan Penulis
Kami menyimpulkan bahawa data sedia ada mengenai maklum balas bio untuk IBS adalah terhad dan menyebabkan kami tidak pasti tentang nilainya dalam pengurusan gejala IBS. Kajian yang sedia ada kini mempunyai had reka bentuk yang membuatkan dapatan kajian sukar untuk dimasukkan dalam rawatan umum klinikal di luar kajian. Walau bagaimanapun, kami mencadangkan kajian lanjut dalam bidang ini, kerana maklum balas bio adalah pendekatan yang unik bagi mengatasi situasi yang sukar.
Diterjemahkan oleh Shazlin.Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi shazlin@usm.my