Adakah penarikan terapi ubat boleh dilaksanakan pada pesakit dengan CD yang telah mencapai remisi?

Latar belakang

Penyakit Crohn ialah penyakit serius, kronik, penyakit keradangan pada usus kecil dan besar. Gejala termasuk sakit perut, cirit-birit, pendarahan dan penurunan berat badan. Apabila orang dengan penyakit Crohn mengalami gejala, penyakit itu dianggap ‘aktif’. Apabila gejala berhenti, ia dipanggil ‘remisi’. Apabila pesakit dalam remisi mengalami gejala, ia dipanggil ‘relaps’. Ubat imunosupresan (cth azathioprine, 6-mercaptopurine dan methotrexate) dan ubat-ubatan biologi (cth infliximab, adalimumab, vedolizumab dan ustekinumab) biasanya digunakan secara bersendirian atau digabungkan untuk merawat penyakit Crohn. Walaupun ia berkesan untuk mengawal penyakit pada mulanya (cth mendorong remisi), terdapat kebimbangan tentang keselamatan dan kos penggunaan jangka panjang ubat-ubatan ini untuk mencegah relaps pada orang dengan penyakit Crohn dalam remisi.

Ciri-ciri kajian

Kami melakukan ulasan penulisan yang komprehensif dan mengenal pasti enam kajian rawak terkawal (suatu eksperimen di mana peserta dibahagikan secara rawak untuk menerima dua atau lebih intervensi dan hasilnya dibandingkan) yang melibatkan seramai 326 peserta. Empat daripada enam kajian menugaskan pesakit yang telah menerima azathioprine sahaja untuk meneruskan atau menghentikan terapi (215 peserta). Dua daripada enam kajian menugaskan pesakit yang telah menerima azathioprine sebagai tambahan kepada infliximab untuk meneruskan terapi atau menghentikan azathioprine (111 peserta).

Keputusan utama

Relaps klinikal berlaku dalam 13% (14/104) pesakit yang meneruskan monoterapi azathioprine berbanding 32% (36/111) pesakit yang menghentikan monoterapi azathioprine. Tiada perbezaan diperhatikan untuk komplikasi berkaitan penyakit Crohn, kesan-kesan sampingan, kesan sampingan yang serius dan penarikan diri akibat kesan sampingan. Kesan sampingan biasa termasuk jangkitan, sedikit penurunan dalam bilangan sel darah putih, gejala perut, sakit sendi, sakit kepala dan peningkatan enzim hati. Antara pesakit yang meneruskan terapi gabungan dengan azathioprine dan infliximab, 48% (27/56) mengalami relaps klinikal berbanding 49% (27/55) pesakit yang menghentikan azathioprine tetapi kekal pada infliximab. Tiada perbezaan pada kesan sampingan, kesan sampingan yang serius atau penarikan diri akibat kesan sampingan. Kesan sampingan yang biasa dilaporkan dalam kajian terapi gabungan termasuk jangkitan, peningkatan ujian hati, sakit sendi dan tindak balas infusi (tindak balas hipersensitiviti kepada ubat biologi).

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualiti bukti untuk setiap hasil adalah rendah kerana kajian berisiko tinggi bias dan sedikit bilangan pesakit yang dinilai.

Kesimpulan

Kesan penarikan terapi imunosupresan pada orang dengan penyakit Crohn dalam remisi adalah tidak pasti. Bukti kualiti rendah menunjukkan bahawa monoterapi azathioprine yang berterusan mungkin lebih baik daripada penarikan azathioprine untuk mengelakkan relaps klinikal pada orang dengan penyakit Crohn dalam remisi. Bukti kualiti rendah menunjukkan bahawa menghentikan imunosupresif selepas terapi gabungan tidak memberi kesan terhadap risiko relaps. Adalah tidak jelas sama ada penarikan azathioprine, yang pada mulanya diberikan secara bersendirian atau dalam gabungan, memberi kesan pada perkembangan komplikasi berkaitan penyakit Crohn, kesan sampingan, kesan sampingan yang serius, atau penarikan diri daripada kajian akibat kesan sampingan. Penyelidikan tambahan diperlukan dalam bidang ini untuk memaklumkan amalan klinikal dengan lebih baik, terutamanya kajian rawak terkawal berkualiti tinggi yang memeriksa hasil apabila terapi biologi dihentikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information