Degarelix untuk barah prostat peringkat lanjut yang baru didiagnosis

Soalan ulasan

Bagaimana degarelix, satu ubat baru yang merawat barah prostat dengan menurunkan paras hormon seks lelaki, berbanding dengan ubat yang sedia ada untuk barah prostat peringkat lanjut yang baru didiagnosis?

Latar belakang

Tidak ada penawar jika barah prostat telah merebak keluar daripada kelenjar prostat ke nodus limfa atau ke tulang. Dalam situasi seperti itu, terapi hormon yang menurunkan tahap testosteron hormon seks lelaki dapat melambatkan pertumbuhan barah. Tahap testosteron dikawal selia oleh satu mekanisma rumit yang melibatkan hormon yang dikenali sebagai hormon pelepasan gonadotropin (GnRH), yang didapati pada lelaki pada tahap yang berbeza pada waktu yang berlainan dalam sehari. Adalah difahami bahawa memberikan lelaki dengan penyakit barah prostat ubat yang meningkatkan paras GnRH akan meningkatkan paras testosteron mereka terlebih dahulu, dan kemudian menurunkannya ke tahap yang sangat rendah. Ubat-ubatan ini biasanya digunakan untuk merawat lelaki dengan barah prostat yang telah merebak keluar daripada prostat. Degarelix adalah ubat baru yang dikenali sebagai antagonis GnRH, yang menyekat reseptor di otak dan dengan itu menurunkan paras testosteron dengan segera.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan ujian terkawal secara rawak (kajian di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan degarelix dan terapi hormon piawai pada lelaki dengan barah prostat peringkat lanjut yang baru didiagnosis. Bukti adalah terkini hingga September 2020 untuk pangkalan data elektronik, hingga Oktober 2020 untuk pendaftaran ujian, dan hingga Disember 2020 untuk prosiding persidangan.

Keputusan utama

Kami menemui 11 kajian yang layak untuk disertakan dalam ulasan ini, tetapi tiada kajian yang menilai risiko kematian akibat mana-mana sebab atau kematian akibat barah prostat. Mungkin tiada perbezaan antara degarelix dengan terapi hormon piawai dalam kesan serius yang tidak diingini dan kualiti hidup. Kesan degarelix terhadap masalah kardiovaskular seperti risiko serangan jantung atau strok adalah tidak pasti; manakala satu kajian mencadangkan bahawa risiko ini dapat dikurangkan dengan degarelix, namun kajian ini mempunyai isu-isu yang besar, khususnya ia dijalankan pada lelaki yang berisiko tinggi untuk menghadapi masalah tersebut. Kami mendapati bahawa terapi degarelix mungkin mengakibatkan peningkatan kejadian kesakitan di tempat suntikan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk pelbagai hasil kajian berkisar dari sederhana hingga sangat rendah. Terdapat keperluan untuk kajian tambahan, yang dirancang dengan lebih baik untuk lebih memahami kesan degarelix bagi barah prostat tahap lanjut yang baru didiagnosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information