Ultrasound semasa mengandung untuk meramalkan perbezaan berat lahir antara kembar

Latarbelakang

Perbezaan berat lahir melebihi 20% pada anak kembar dikaitkan dengan hasil yang buruk bagi ibu dan bayi. Doktor mengukur anggaran perbezaan berat janin dengan ultrasound sebelum kelahiran dan membandingkannya dengan perbezaan berat lahir selepas bayi dilahirkan. Dalam ulasan ini, kami merumuskan data mengenai apakah pengukuran ultrasound cukup tepat untuk meramalkan perbezaan berat lahir pada anak kembar.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan hingga Mac 2019 untuk kajian yang membandingkan pengukuran ultrasound dengan perbezaan berat lahir dan kami mengenal pasti 39 kajian. Dua puluh dua kajian memberikan data mengenai perbezaan berat lahir sebanyak 20% dan 18 kajian memberikan data mengenai perbezaan berat lahir sebanyak 25%.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti kajian individu menggunakan alat yang disebut "Penilaian Kualiti bagi Ketepatan Diagnostik Kajian" (QUADAS-2) dan kualiti keseluruhan dengan kaedah yang disyorkan yang disebut GRADE untuk mengetahui kebolehpercayaan bukti.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa anggaran ultrasound bagi perbezaan berat janin berbanding perbezaan berat lahir adalah tidak boleh dipercayai. Secara purata, ultrasound mengesan 20% dan 25% perbezaan berat lahir hanya separuh masa. Kualiti bukti sangat rendah.

Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan ultrasound sebagai satu-satunya ukuran untuk mengesan perbezaan berat lahir pada kembar, atau hasil yang buruk. Ketepatan diagnostik langkah-langkah lain termasuk isipadu cecair amniotik (cecair yang mengelilingi bayi dalam kandungan) atau kajian Doppler (yang menggunakan gelombang bunyi untuk mengesan pergerakan darah di saluran darah bayi dan tali pusat) yang digabungkan dengan ultrasound untuk menyampaikan keputusan klinikal adalah perlu dinilai. Kajian yang dirancang dengan baik pada masa depan juga dapat meneliti kesan sama ada bayi berkongsi plasenta (atau tidak), jantina bayi, dan usia kehamilan (masa dari haid terakhir wanita), dalam ketepatan diagnostik ultrasound untuk anggaran perbezaan berat kelahiran.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information