Latar belakang
Olanzapine telah dikaji bagi melihat jika ianya berfungsi sebagai ubat antiloya (antiemetik) dan jika ianya selamat. Pesakit kanser biasanya mengalami loya dan muntah yang menyukarkan, walaupun dengan ubat sedia ada, sebelum, semasa, dan selepas kemoterapi atau radioterapi, dan semasa fasa paliatif penyakit (di mana tujuan rawatan ialah melegakan simptom bukannya mengubati). Sesetengah pesakit masih mengalami masalah loya dan muntah dengan kemoterapi walaupun mereka telah diberi ubat antiloya yang standard.
Kajian penyelidikan terkini memberi tumpuan terhadap pencegahan dan rawatan loya dan muntah yang disebabkan oleh kemoterapi.
Soalan ulasan
Kami menyelidik manfaat dan bahaya penggunaan olanzapine bagi pencegahan dan rawatan loya dan muntah dalam orang dewasa yang mempunyai kanser.
Tarikh carian
Kami mencari kajian pada September 2017.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 14 kajian terkawal rawak (RCTs) kerana mereka membekalkan bukti yang paling diyakini, dengan 1917 peserta kesemuanya, daripada seluruh pelusuk dunia yang mengkaji penggunaan olanzapine oral bagi merawat atau mencegah loya dan muntah.
Kesemua kajian yang dimasukkan menggunakan olanzapine yang digabungkan bersama ubat-ubat lain, biasanya antiemetik (ubat-ubat antiloya). Sembilan kajian membandingkan olanzapine terhadap plasebo (bahan yang tidak mempunyai kesan terapeutik) atau tiada rawatan. Kajian-kajian lain membandingkan olanzapine terhadap antiemetik-antiemetik lain.
Adakah peserta menerima rawatan antikanser?
Tiga belas RCTs melibatkan peserta yang menerima kemoterapi. Kemoterapi digred mengikut kemungkinan ia menyebabkan loya dan muntah (iaitu tahap emetogeniknya). Dalam enam RCTs peserta-peserta telah menerima kemoterapi yang mempunyai tahap emetogenik yang tinggi (HEC) atau kemoterapi bertahap emetogenik yang sederhana (MEC). Dalam enam RCTs peserta-peserta hanya menerima HEC. Satu RCT tidak menyatakan samada peserta telah menerima HEC atau MEC.
Tiada RCTs melibatkan peserta yang menerima hanya radioterapi. Satu kajian melibatkan peserta yang telah menerima kedua-dua rawatan kemoterapi dan radioterapi untuk kanser mereka. Satu kajian melibatkan peserta yang tidak menerima samada kemoterapi atau radioterapi.
Dana pembiayaan kajian
RCTs yang terlibat tidak melaporkan penerimaan dana daripada syarikat-syarikat farmaseutikal. Lima kajian menyatakan mereka telah menerima dana daripada yayasan kanser, endowmen, atau universiti. Sembilan kajian tidak membuat deklarasi mengenai pembiayaan.
Hasil utama
Lima puluh peratus pesakit yang telah menerima olanzapine dan rawatan standard berkemungkinan tidak mengalami loya atau muntah semasa kemoterapi berbanding hanya 25% mereka yang telah menerima rawatan standard. Olanzapine berkemungkinan menyebabkan lebih tidur. Kami tidak pasti jika menggunakan 5 mg olanzapine sehari bukannya 10 mg olanzapine sehari mengurangkan kemungkinan kejadian mengantuk tanpa mengurangkan manfaat antiloya. Kami tidak pasti tentang risiko mengalami kesan-kesan sampingan lain atau kesan-kesan sampingan yang serius, maka ianya penting untuk menyedari bahawa ini mungkin boleh terjadi. Terdapat cadangan menyatakan pesakit yang mengambil olanzapine dengan rawatan standard mungkin mempunyai peningkatan kualiti hidup berbanding mereka yang hanya menggunakan rawatan standard, tetapi kami sangat tidak pasti mengenainya kerana tidak dapat menganalisa data. Tidak ada bukti yang cukup untuk menyatakan samada pesakit lebih suka mengambil olanzapine berbanding tidak mengambilnya.
Tidak ada bukti yang cukup untuk menyatakan olanzapine sama baik dengan, lebih teruk atau lebih baik daripada ubat-ubat antiloya semasa yang lain yang digunakan.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti dari kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah menunjukkan kami sangat tidak pasti tentang keputusan-keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan-keputusannya. Kami menemui bukti berkualiti sederhana bahawa olanzapine mengurangkan loya dan muntah tetapi ia juga meningkatkan mengantuk yang tidak diingini apabila dibandingkan dengan plasebo atau tiada rawatan. Terdapat bukti berkualiti sederhana bagi apa yang lebih digemari pesakit dan bukti berkualiti rendah bagi kejadian-kejadian yang tidak diingini. Bukti berbaki berkualiti rendah atau sangat rendah.
Implikasi ulasan
Olanzapine mungkin merupakan ubat antiloya yang berkesan. Kami tidak pasti dos paling baik untuk diguna, 5 mg atau 10 mg, atau jika 2.5 mg juga mungkin memberikan hasil. Bagaimanapun, ulasan ini hanya menjumpai informasi mengenai pemberian olanzapine melalui mulut dan tidak menemui apa-apa mengenai suntikannya. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk makluman amalan.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my