Latar belakang
Limfoma Hodgkins (HL) merupakan barah sistem limfa. Sebagai sebahagian daripada sistem imun, sistem limfa terdiri daripada rangkaian saluran limfa, yang mengangkut limfa ke seluruh badan. Limfa adalah cecair yang mengandungi sel darah putih, yang menangani jangkitan. HL berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa, terutamanya dalam dekad ketiga kehidupan. Ia adalah salah satu bentuk kanser yang paling boleh sembuh dengan sehingga 90% orang akan sembuh; Namun, kira-kira 10% orang dengan HL akan berulang (kanser akan kembali). Pilihan rawatan adalah kemoterapi, radioterapi, atau kedua-duanya, atau ejen yang baru dibangunkan, dipanggil perencat pemeriksaan yang mensasarkan sel kanser secara langsung. Nivolumab adalah salah satu perencat pemeriksaan dan kini telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS untuk rawatan pelbagai jenis kanser dan HL berulang selepas rawatan dengan pemindahan stem dan brentuximab vedotin, yang merupakan ubat yang digunakan untuk merawat kanser. Dalam pemindahan sel stem, pesakit menerima sel-sel yang membina darah, yang juga dikenali sebagai sel stem, yang menggantikan sel mereka sendiri apabila mereka dimusnah semasa penyakit atau rejimen terapi sebelumnya.
Soalan ulasan
Ulasan sistematik ini menilai manfaat dan kemudaratan nivolumab untuk orang dewasa dengan limfoma Hodgkin.
Ciri-ciri Kajian
Kami mencari pangkalan data perubatan penting untuk kajian klinikal yang menilai manfaat dan kemudaratan nivolumab pada orang dewasa dengan HL. Dua penulis ulasan memeriksa, meringkaskan dan menganalisis hasil penemuan secara bebas. Di samping itu, kami menguji perisian komputer RobotReviewer untuk mengeluarkan data. Carian kami membawa kepada kemasukan tiga kajian melibatkan 283 peserta dan 14 percubaan yang berterusan.
Bukti-bukti adalah terkini sehingga Mei 2018.
Keputusan utama
Dua kajian dengan 260 peserta menilai penerusan hidup. Selepas enam bulan, semua peserta terus hidup dalam satu kajian (17 peserta). Satu kajian melaporkan kualiti hidup untuk satu subkumpulan peserta dengan menggunakan soal selidik tetapi tidak semua data susulan tersedia. Walaupun seolah-olah para peserta yang menjawab soal selidik itu mungkin mempunyai manfaat, tidak jelas sama ada ini boleh digunakan untuk semua peserta. Kajian-kajian itu juga melaporkan kawalan tumor dan tindak balas tumor, tetapi dengan keputusan yang berbeza, bergantung kepada rawatan dan berapa banyak rawatan yang sebelumnya diterima oleh peserta sebelum diberi nivolumab.
Disebabkan Nivolumab diberikan sehingga penyakit berkembang(semakin buruk) atau sehingga kesan sampingan yang tidak dapat diterima berlaku, orang menerima ubat tersebut untuk waktu yang lama. Oleh itu, pelaporan kesan sampingan berkait dengan masa seseorang menerima ubat tersebut, dengan kesan sampingan yang lebih berpotensi dengan penggunaan lebih lama. Kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan adalah keletihan (kelesuan), cirit-birit (najis longgar), tindak balas infusi (semasa atau tidak lama selepas diberikan ubat melalui vena) dan ruam. Hanya satu kajian melaporkan kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat-ubatan. Mereka jarang berlaku (tindak balas infusi dan penyakit paru-paru). Kematian yang disebabkan oleh pengunaan ubat tidak dilaporkan.
Kebolehpercayaan bukti
Oleh kerana reka bentuk kajian dan jenis peserta yang berlainan dengan pelbagai rawatan sebelumnya dan pelbagai pilihan rawatan, kebolehpercayaan bukti adalah rendah kepada yang sangat rendah.
Kesimpulan
Ulasan sistematik ini menilai manfaat dan kemudaratan nivolumab untuk orang dewasa dengan limfoma Hodgkin.
Data mengenai kelangsungan hidup, kualiti hidup, tindak balas tumor dan kesan sampingan boleh didapati dari kajian kecil sahaja. Ketiga-tiga kajian itu hanya menyertakan orang-orang dengan pilihan rawatan sebelumnya yang berbeza, dan sangat kerap juga dengan pemindahan stem sel sebelumnya. Selepas enam bulan, semua peserta masih hidup dalam satu kajian. Data kualiti kehidupan tidak dilaporkan untuk semua peserta yang terlibat; Selain itu, data selepas tempoh rawatan yang panjang tidak tersedia untuk semua peserta yang dinilai, oleh itu tidak mungkin terdapat kesimpulan yang bermakna. Kesan sampingan yang serius jarang berlaku. Pada masa ini, data terlalu jarang untuk membuat pernyataan yang jelas mengenai nivolumab bagi orang yang mempunyai HL yang berulang atau refraktori kecuali bagi mereka yang telah menerima beberapa rawatan sebelum ini. Pada masa ini terdapat 14 kajian yang sedang dijalankan untuk menilai nivolumab, di mana dua direka dengan baik, ada kemungkinan ulasan ini akan dikemaskini dan diterbitkan dalam masa terdekat dan kemas kini ini akan menunjukkan hasil yang berbeza kepada yang dilaporkan di sini.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my