Mesej utama dari ulasan
Kami mengulas bukti tentang keberkesanan dan keselamatan baclofen untuk merawat orang dengan gangguan penggunaan alkohol (AUD), untuk mencapai dan mengekalkan abstinens (berhenti minum), atau untuk mengurangkan pengambilan alkohol.
Bukti semasa mencadangkan ia dapat membantu orang dengan AUD untuk mengekalkan abstinens, terutama dalam kalangan orang yang telah menyahtoksik. Keputusan perbandingan dengan ubat-ubatan lain berdasarkan hanya satu kajian dan tidak membolehkan kami membuat kesimpulan.
Topik ulasan dan matlamat
AUD merupakan salah satu gangguan psikiatri yang paling meluas, yang membawa kepada masalah fizikal spesifik, perasaan, masalah pembelajaran dan ingatan, dan akibat ke atas kesejahteraan keseluruhan dan kesihatan. Penyalahgunaan alkohol adalah salah satu risiko kesihatan terbesar di seluruh dunia, menyebabkan 20% hingga 30% kanser esofagus (laluan makanan), penyakit hati, epilepsi, kemalangan kenderaan bermotor, homisid dan kecederaan lain yang disengajakan.
Selama bertahun-tahun, rawatan utama untuk AUD adalah strategi psikososial (menolong orang untuk menyedarkan mereka perlu bantuan), tetapi hanya menggunakan rawatan psikososial mempunyai kejayaan yang terhad. Sebahagian besar orang dengan AUD tidak respon kepada rawatan sama sekali, dan mereka yang respon tidak kekal bebas alkohol untuk jangka panjang. Ubat-ubatan seperti baclofen, boleh memain peranan penting dalam merawat orang dengan AUD.
Kaedah ulasan
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana orang diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih rawatan atau kumpulan kawalan) yang menilai kesan baclofen dalam mengurangkan penggunaan alkohol atau dalam mencapai dan mengekalkan abstinens (atau kedua-duanya) berbanding dengan plasebo (ubatan yang tidak aktif) atau ubat lain. Kami mengumpul kajian yang serupa dan menilai kesan dengan membahagikan kajian-kajian mengikut dos baclofen, tempoh rawatan, dan penggunaan alkohol dan permulaan rawatan (iaitu kepada peserta yang telah menyahtoksik atau tidak menyahtoksik berdasarkan jika mereka abstinen atau masih minum pada permulaan rawatan).
Ringkasan keputusan
Kami menemui 17 kajian dengan 1818 peserta dengan AUD. Tempoh kajian yang disertakan adalah di antara tiga bulan hingga satu tahun. Lima kajian berlangsung di Amerika Syarikat dan dua masing-masing di Australia, Perancis, India dan Itali; dan masing-masing satu di Jerman, Israel dan Belanda.
Dos baclofen adalah 30 mg sehari hingga 300 mg sehari, dan, dalam beberapa kes, dos ditambahkan semasa rawatan. Tujuh belas kajian membandingkan baclofen dengan plasebo (ubat palsu), dua membandingkan baclofen dengan acamprosate (ubat yang digunakan untuk merawat AUD), dan dua membandingkan baclofen dengan naltrexone (ubat yang diguna untuk merawat AUD).
Berbanding plasebo, baclofen mungkin membantu orang dengan AUD dalam mengurangkan risiko relaps dan meningkatkan kadar hari abstinens. Kesan-kesan ini mungkin lebih jelas dalam kalangan orang dengan AUD yang telah menyahtoksik berbanding orang yang tidak menyahtoksik . Baclofen mungkin tidak membuat perbezaan dalam kadar hari minum berat; bilangan minuman pada setiap hari minum; keinginan, keresahan dan keterukan kemurungan; bilangan peserta yang tercicir atas sebarang sebab; tercicir akibat peristiwa buruk (kesan sampingan); atau bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk. Baclofen boleh meningkatkan peristiwa buruk seperti keletihan, vertigo (perasaan bahawa segala-galanya berputar), mengantuk, mulut kering, kebas dan kekejangan otot tetapi kami mendapati tiada perbezaan antara baclofen dan plasebo untuk peristiwa buruk lain.
Kepastian bukti
Kepastian bukti (sejauh mana kami yakin bukti itu boleh dipercayai) adalah tinggi untuk keputusan tentang peratusan hari abstinens, bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk, orang yang tercicir dari kajian atas sebarang sebab, dan orang yang tercicir kerana peristiwa buruk. Kepastian bukti adalah sederhana untuk keputusan tentang minum semula, hari minum berat dan bilangan minuman setiap hari minum.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga November 2021. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane pertama diterbitkan pada 2018.
Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal MalaysiaUntuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my