Mengapakah penambahbaikan diagnosis demensia penting?

Demensia merujuk kepada sekumpulan keadaan otak yang membawa kepada masalah progresif dengan ingatan, menyelesaikan masalah, atau berfungsi dalam kehidupan seharian. Doktor menggunakan pelbagai ujian untuk mendiagnosis penyakit demensia. Orang ramai sering melaporkan bahawa ia boleh mengambil masa yang lama untuk mendapatkan diagnosis demensia dari pada mula ia dikemukakan kepada penyedia penjagaan kesihatan dengan gejala yang menunjukkan demensia.

Kemerosotan kognitif adalah istilah yang lebih luas yang merangkumi orang yang otaknya tidak berfungsi dengan baik seperti yang dijangkakan berdasarkan usia mereka, tetapi mereka tidak mengalami demensia, serta orang yang mengalami demensia. Sesetengah orang yang mengalami kemerosotan kognitif tanpa menghidap demensia berkemungkinan mempunyai kemerosotan kognitif ringan (MCI). Sesetengah orang dengan MCI (tetapi bukan semua) akan mengalami demensia dari semasa ke semasa.

Apakah tujuan ulasan ini?

Penulis ulasan bertujuan untuk menyiasat ketepatan diagnostik pertimbangan klinikal pengamal am (GP) untuk mendiagnosis demensia, dan kemerosotan kognitif, dalam penjagaan primer.

Apakah yang dikaji dalam ulasan?

Penulis memasukkan data yang diekstrak daripada 11 kajian, termasuk 10 dengan data lengkap mengenai ketepatan diagnostik. Penulis memasukkan lapan kajian dalam ringkasan statistik dengan sejumlah 2790 orang, di mana 826 (30%) mengalami demensia. Penulis memasukkan empat kajian yang menyiasat kemerosotan kognitif sebagai syarat untuk mendiagnosis, dengan sejumlah 1497 orang di mana 594 daripadanya mengalami kemerosotan kognitif (40%).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Keputusan semakan menunjukkan bahawa secara teori, jika GP menggunakan pertimbangan klinikal mereka dalam amalan untuk demensia, mereka akan mengenal pasti dengan betul 58% orang yang mengalami demensia sebagai mempunyai keadaan (sensitiviti) dan 89% orang yang tidak mengalami demensia sebagai bebas daripada keadaan (kekhususan).

Keputusan ulasan menunjukkan bahawa secara teori, jika GP menggunakan pertimbangan klinikal mereka dalam amalan untuk kemerosotan kognitif, mereka akan mengenal pasti dengan betul 84% orang yang mengalami kemerosotan kognitif sebagai mempunyai keadaan (sensitiviti) dan 73% orang yang tidak mempunyai kemerosotan kognitif sebagai bebas daripada keadaan (kekhususan).

Sejauh manakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh dipercaya?

Dalam ulasan ini terdapat beberapa masalah teknikal dengan reka bentuk kajian asal, dan terdapat perbezaan antara kajian yang menyukarkan untuk membandingkannya antara satu sama lain. Ini bermakna sukar untuk memastikan kesesuaian penemuan ini dalam amalan klinikal.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini diguna pakai?

Penyelidik yang menjalankan kajian dalam ulasan menjalankan penyiasatan mereka kebanyakannya di Eropah, dengan satu kajian di AS dan satu kajian di Australia. Semua kajian memasukkan orang yang menemui GP mereka. Purata umur adalah antara 73 tahun hingga 83 tahun (purata wajaran 77 tahun). Peratusan peserta wanita dalam kajian adalah antara 47% hingga 100%. Peratusan orang dengan diagnosis akhir demensia adalah antara 2% dan 56% merentasi kajian (purata wajaran 21%). Jika menggunakan penemuan ini dalam tetapan dengan bilangan penghidap demensia yang kurang maka ketepatan ujian mungkin berbeza.

Apakah implikasi ulasan ini?

Jika kajian ini sememangnya mewakili amalan GP, maka jika GP menggunakan pertimbangan klinikal mereka sahaja untuk mendiagnosis demensia maka ini mungkin bermakna sesetengah orang yang mengalami demensia tersilap 'terlepas', dan adalah penting untuk melakukan ujian lanjut untuk mengesahkan bahawa orang itu tidak mempunyai masalah. Walau bagaimanapun, jika GP berpendapat seseorang menghidap demensia ada kemungkinan besar diagnosis itu betul dan ujian untuk mengesahkan demensia mungkin berbeza dan berkemungkinan kurang memakan masa dan membebankan. Kajian yang disertakan dalam ulasan ini mencadangkan bahawa pertimbangan klinikal mungkin merupakan ujian yang berguna untuk menentukan langkah seterusnya.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga 16 September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kai Xin Ting (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information