Terapi penggantian hormon untuk gejala menopaus dalam kalangan wanita yang telah menjalani rawatan pembedahan kanser ovari epitelium

Isunya
Kanser ovari epitelium (EOC) bermula dari lapisan permukaan ovari. Ia adalah kanser kelapan paling lazim dan punca kematian ketujuh paling lazim akibat kanser di seluruh dunia dalam kalangan wanita. Rawatan pembedahan EOC termasuk pembuangan semua deposit tumor yang kelihatan dalam abdomen; ini biasanya termasuk kedua-dua ovari, Rahim (rahim), omentum (langsir lemak yang tergantung dari perut dan kolon transayat), dan peritoneum, dengan atau tanpa penyingkiran nod limfa atau organ lain. Wanita yang pramenopaus sebelum prosedur mengalami menopaus akibat pembedahan. Ini mungkin memberi impak negatif kualiti hidup mereka kerana gejala seperti panas badan, perubahan mood, perubahan aktiviti seksual, kekeringan faraj dan kehilangan ketumpatan tulang. Satu perempat wanita, terutama wanita yang lebih muda, akan menunjukkan penyakit peringkat awal dan akan mengalami kesan kesihatan buruk jangka panjang akibat menopaus yang berpunca dari pembedahan. Dalam kalangan wanita dengan penyakit lanjutan semasa diagnosis, kualiti hidup adalah satu faktor penting untuk dipertimbangkan, kerana penyakit mereka menghadkan kehidupan.

Terapi penggantian hormon (HRT) mungkin berkesan untuk gejala menopaus, tetapi terdapat kebimbangan yang serius di sekitar keselamatan rawatan ini. Kebimbangan ini bukan hanya berkait dengan kanser, tetapi juga kepada jantung, dan ia perlu diimbangi dengan kesan kesihatan positif HRT bagi wanita yang menopaus awal. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keselamatan HRT telah dipersoalkan dan doktor mungkin berhati-hati dalam menetapkan HRT untuk wanita yang mengalami menopaus takibat pembedahan selepas rawatan untuk EOC.

Matlamat ulasan
Untuk menilai keselamatan dan keberkesanan terapi penggantian hormon (HRT) untuk gejala menopaus pada wanita yang dirawat secara pembedahan untuk EOC.

Apakah penemuan utama?
Kami mencari bukti manfaat dan mudarat HRT dalam EOC, sehingga Jun 2019. Kami mengenal pasti tiga kajian melibatkan sejumlah 350 wanita. Kami dapati HRT boleh memperbaiki survival keseluruhan dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada survival bebas progresi. Kami tidak pasti tentang kesan ke atas kualiti hidup, insiden kanser payudara, serangan iskemik sementara (juga dikenali sebagai 'strok mini'), kemalangan serebrovaskular (strok) dan infarksi miokardium (serangan jantung), kerana kepastian bukti yang sangat rendah. Tiada laporan tentang insiden batu hempedu.

Kualiti bukti
Kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah bagi semua hasil, terutamanya disebabkan oleh bilangan kecil peserta dan peristiwa buruk yang dilaporkan. Kepastian bukti juga dikurangkan kerana risiko bias tinggi kajian-kajian yang dimasukkan, bermakna keputusan-keputusan mungkin terlebih atau terkurang anggar kesan sebenar rawatan.

Apakah kesimpulannya?
Terapi penggantian hormon boleh memperbaiki keseluruhan survival dalam kalangan wanita yang mengalami menopaus akibat pembedahan selepas rawatan untuk EOC, tetapi ia membuat sedikit atau tiada perbezaan survival tanpa penyakit itu menjadi semakin teruk. Kepastian keseluruhan penemuan adalah rendah hingga sangat rendah, terutama kerana kurangnya maklumat. Ini adalah bidang yang sangat penting untuk penyelidikan lanjut, yang berpotensi memberi impak besar kepada ramai wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information