Faedah dan kemudaratan beta-blockers berbanding plasebo atau tiada intervensi dalam fasa bukan akut infarksi miokardium

Latar belakang

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 7.4 juta orang meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemik pada tahun 2012. Ini mewakili 15% daripada semua kematian di seluruh dunia. Pesakit dengan serangan jantung tetapi tanpa kegagalan jantung mungkin menerima beta-blockers sebagai rawatan bukan akut. Beta blockers menghalang reseptor beta. Ini boleh mengakibatkan pengurangan oksigen yang diperlukan oleh jantung dan mungkin mengurangkan komplikasi yang berkaitan dengan serangan jantung.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik dari awal hingga Februari 2021 dan menemui 25 kajian klinikal rawak. Orang ramai mempunyai peluang yang sama untuk dimasukkan ke dalam kumpulan yang menerima beta-blockers atau kawalan. Dalam 21 kajian, kawalan adalah plasebo. Dalam empat kajian, kawalan adalah tiada intervensi. Kajian-kajian ini menyertakan seramai 22,423 orang dewasa dengan purata umur 56.9 tahun (julat 50 hingga 63 tahun).

Keputusan utama

Pesakit tanpa kegagalan jantung selepas serangan jantung yang menerima beta-blockers berbanding plasebo atau tiada intervensi mungkin mempunyai risiko kematian dan serangan jantung baru yang lebih rendah dan mungkin mempunyai kurang risiko kejadian kardiovaskular utama dan kematian daripada mana-mana sebab berkaitan jantung, tetapi berkemungkinan bukan angina pektoris. Kesan beta-blockers terhadap peristiwa buruk yang serius dan pada kualiti hidup adalah tidak pasti kerana kekurangan data.

Kepastian bukti

Bukti harus ditafsirkan dengan berhati-hati, kerana kepastian dinilai sebagai sederhana hingga rendah untuk semua hasil. Sebabnya adalah termasuk risiko berat sebelah yang tinggi untuk semua kajian yang disertakan, batasan dalam reka bentuk dan pelaksanaan, dan risiko ralat secara rawak. Ini bermakna keputusan mungkin melebihkan kesan faedah beta-blockers dan merendahkan kesan berbahaya. Oleh itu, keputusan yang dinyatakan di atas mungkin berubah pada masa hadapan, selepas kajian klinikal rawak tambahan yang direka dengan lebih baik dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information