Pembasuh tangan tanpa bilas untuk mengurangkan ketidakhadiran dalam kalangan kanak-kanak prasekolah dan sekolah

Latar belakang

Ketidakhadiran ke sekolah membawa kos yang tinggi kepada ibu bapa, sekolah dan kerajaan, dan ketidakhadiran berterusan membawa kesan buruk terhadap pembelajaran pelajar. Ketidakhadiran yang berakibat daripada penyakit adalah penyumbang penting kepada ketidakhadiran ke sekolah, malah ia juga menyebabkan ibu bapa tidak hadir ke tempat kerja kerana mereka dijangkiti penyakit tersebut atau terpaksa tinggal di rumah untuk mejaga anak mereka. Terdapat beberapa strategi yang sedang digunakan untuk mengurangkan ketidakhadiran berkaitan penyakit, dan kaedah yang biasa digunakan adalah pelaksanaan amalan kebersihan tangan yang sesuai. Walau bagaimanapun, pembasuhan tangan menggunakan sabun dan air tidak selalu praktikal, dan alternatif mungkin terbukti lebih berkesan dalam mengurangkan kadar keseluruhan ketidakhadiran berkaitan penyakit. Salah satu alternatif tersebut ialah penggunaan pembasuh tangan tanpa bilas.

Soalan ulasan

Ulasan ini direka untuk menyiasat jika penggunaan pembasuh tangan tanpa bilas boleh mengurangkan jumlah hari ketidakhadiran di sekolah dalam kalangan kanak-kanak prasekolah dan sekolah berbanding dengan penggunaan cucian tangan yang memerlukan pembilasan.

Ciri-ciri kajian

Pencarian menunjukkan terdapat 19 kajian berkaitan yang melibatkan 30,747 peserta. Lapan kajian dijalankan di AS, dua dijalankan di Sepanyol, dan masing-masing satu di China, Kolombia, Finland, Perancis, Kenya, Bangladesh, New Zealand, Sweden, dan Thailand. Enam kajian dijalankan di prasekolah atau pusat asuhan kanak-kanak (kanak-kanak berumur sejak lahir hingga < lima tahun), dan 13 yang baki dijalankan di sekolah rendah (kanak-kanak berusia lima hingga 14 tahun). Kajian-kajian ini agak berbeza dalam komposisi dan aplikasi program pembasuhan tangan tanpa bilas. Hanya dua kajian yang memasukkan maklumat mengenai hasil utama (ketidakhadiran atas apa-apa sebab), sementara terdapat enam kajian yang memberikan maklumat untuk ketidakhadiran disebabkan sebarang penyakit. Bukti yang dikemukakan adalah terkini hingga Februari 2020.

Keputusan utama

Aplikasi, dan kepatuhan kepada program pembasuhan tangan tanpa bilas, program kebersihan tangan mungkin berkaitan kecil dengan potensi kesan yang bermanfaat dalam mengurangkan bilangan hari ketidakhadiran ke sekolah dalam kalangan pelajar disebabkan sakit berbanding dengan tiada program pembasuhan tangan tanpa bilas, program kebersihan. Namun begitu, pembasuhan tangan tanpa bilas mungkin tiada beza dengan yang kumpulan kawalan dalam mengurangkan ketidakhadiran atas apa-apa sebab. Mungkin juga tidak ada perbezaan dalam jumlah pelajar yang mendapat kerengsaan kulit antara yang menggunakan pembasuh tangan tanpa bilas berbanding dengan mereka yang menggunakan sabun dan air. Sebilangan besar pelajar dan guru memberikan tindak balas yang baik dalam penggunaan pembasuh tangan tanpa bilas dan mematuhi penggunaannya dengan agak baik.

Kepastian bukti

Kepastian bukti yang disertakan dalam ulasan ini adalah rendah ataupun sangat rendah, yang disebabkan terutamanya oleh penyertaan kajian yang menggunakan kaedah yang lemah, memberikan data yang tidak tepat, dan tidak konsisten antara satu sama lain. Ini bermaksud bahawa kami mempunyai kepastian, atau keyakinan yang rendah dan teramat rendah terhadap hasil ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information