Soalan ulasan
Kami menentukan bagaimana perencat renin (RI) berbanding dengan perencat enzim penukar angiotensin (ACE) untuk merawat sakit darah tinggi.
Latar belakang
Sakit darah tinggi (hipertensi) adalah cabaran kesihatan awam di seluruh dunia yang berkaitan dengan tahap kejadian dan risiko penyakit peredaran darah dan buah pinggang yang tinggi. RI diperkenalkan di bidang penggunaan klinikal untuk hipertensi pada tahun 2007. Perencat ACE dipreskripsi secara meluas untuk hipertensi. Walau bagaimanapun, keberkesanan dan keselamatan perbandingan RI dan perencat ACE tidak diketahui.
Tarikh carian
Kami mencari bukti sehingga Ogos 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan kajian rawak, kawalan aktif, double-blinded (RCT) untuk tinjauan ini. Kami merangkumi 11 RCT yang melibatkan 13,627 peserta, yang berusia secara rata dari 51 hingga 74 tahun. Tempoh susulan adalah dari empat minggu sehingga 36 bulan.
Keputusan utama dan kepastian bukti
Bukti kepastian rendah menunjukkan tidak ada perbezaan antara RI dan perencat ACE untuk kematian dari sebarang sebab, untuk serangan jantung, untuk kesan sampingan yang serius atau untuk meninggalkan kajian kerana kesan sampingan. Bukti kepastian rendah mencadangkan bahawa RI menurunkan tekanan darah lebih banyak daripada perencat ACE, tetapi ini mungkin disebabkan oleh berat sebelah dalam reka bentuk dan pelaksanaan kajian. RCT lebih bebas diperlukan untuk menilai penyakit dan kematian, dan untuk melihat jikalau perbezaan penurunan tekanan darah adalah nyata.
Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my