Tujuan Kajian
Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada ia berkemungkinan untuk menghentikan ubat-ubatan tekanan darah dalam orang tua. Kami juga ingin mengetahui kesan-kesan menghentikan ubat-ubatan ini.
Kami telah menyertakan orang dewasa berumur 50 tahun dan ke atas yang mengambil ubat-ubatan tekanan darah untuk tekanan darah tinggi (hipertensi) atau untuk pencegahan penyakit-penyakit jantung (pencegahan utama). Kami telah mengecualikan kajian-kajian dengan orang yang pernah mengalami serangan sakit jantung, strok atau penyakit jantung yang lain (pencegahan sekunder).
Kami membandingkan menghentikan atau mengurangkan dos ubat-ubatan tekanan darah dengan meneruskan ubat-ubatan tekanan darah.
Latar belakang
Tekanan darah tinggi, atau dikenali sebagai hipertensi, merupakan faktor risiko untuk berbagai penyakit, seperti serangan sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan strok. Walaupun hipertensi biasanya tidak menimbulkan gejala-gejala, ia adalah penting untuk mengawal tekanan darah untuk menjaga kesihatan dan mengurangkan risiko mengalami keadaan-keadaan serius.
Hipertensi sering dirawat dengan gaya hidup dan ubat-ubatan tekanan darah (antihipertensi). Terdapat banyak jenis ubat-ubatan tekanan darah yang sedia ada.
Ubat-ubatan antihipertensi boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang berbahaya, seperti pening dan keletihan yang boleh mengakibatkan jatuh. Orang tua lebih berisiko untuk mengalami kesan-kesan sampingan daripada ubat-ubatan berbanding dengan orang muda. Ia tidak jelas sama ada manfaat ubat-ubatan antihipertensi melebihi kesan buruk dalam kalangan orang tua.
Ciri-ciri kajian
Carian kami sehingga April 2019 telah menemui enam kajian, yang menyertakan 1,073 orang dewasa secara keseluruhannya. Peserta dalam kajian-kajian mempunyai purata umur 58-82 tahun. Dalam tiga kajian tersebut, dos ubat antihipertensi telah diturunkan secara perlahan-lahan sebelum dihentikan.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa ia berkemungkinan untuk menghentikan ubat-ubatan antihipertensi dalam orang dewasa yang lebih tua. Kebanyakan orang tua dalam kumpulan penghentian tidak perlu memulakan semula ubat-ubatan mereka.
Kami telah menjumpai bukti berkepastian rendah bahawa memberhentikan ubat antihipertensi telah meningkatkan tekanan darah dengan jumlah yang sedikit.
Kami menjumpai bukti berkepastian rendah atau sangat rendah bahawa penghentian ubat-ubatan tekanan darah tidak meningkatkan risiko mengalamai serangan sakit jantung, strok, kemasukan hospital atau kematian.
Kami telah menjumpai bukti berkepastian sangat rendah bahawa penghentian ubat-ubatan darah tinggi tidak meningkatkan risiko peristiwa buruk dan mungkin boleh mengatasi kesan-kesan sampingan, tetapi ini tidak dilaporkan dengan baik, dan oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan.
Tiada kajian yang melaporkan sama ada penghentian ubat-ubatan tekanan darah telah menjejaskan kejadian kejatuhan.
Kepastian bukti
Kami menilai kepastian bukti menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Bukti berkepastian tinggi bermakna kami sangat yakin dalam keputusan tersebut. Bukti berkepastian sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti dengan keputusan tersebut. Kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah dan rendah.
Kesimpulan
Ia mungkin selamat untuk menghentikan ubat-ubatan antihipertensi dalam kalangan orang tua yang sedang mengambil ubat-ubatan untuk tekanan darah tinggi atau pencegahan utama penyakit jantung.
Orang dewasa yang lebih tua tidak patut menghentikan sebarang ubat-ubatan tanpa berbincang dengan ahli profesional penjagaan kesihatan.
Kajian pada masa depan patut melibatkan orang dewasa yang lebih tua yang sedang mengambil beberapa ubat-ubatan yang lain dan/atau sedang hidup dengan kelemahan.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my