Isu
Penjaga keluarga (seperti suami/isteri, ahli keluarga atau rakan karib) sering memberikan sokongan fizikal dan emosi kepada pesakit tumor (kanser) otak atau saraf tunjang. Walau bagaimanapun, penjagaan oleh keluarga dikaitkan dengan beban dan tekanan yang agak tinggi. Oleh itu, adalah penting untuk memenuhi keperluan sokongan penjaga keluarga agar kesihatan emosi dan fizikal mereka dapat dipelihara. Hal ini dijangka dapat membantu penjaga, pesakit dan unit keluarga.
Tujuan ulasan
Untuk menilai keberkesanan intervensi sokongan bagi meningkatkan kesejahteraan penjaga kepada pesakit tumor otak atau saraf tunjang. Untuk menilai kesan intervensi sokongan bagi penjaga dalam meningkatkan kesejahteraan fizikal dan emosi pesakit dengan tumor otak atau saraf tunjang dan menilai faedah ekonomi kesihatan intervensi sokongan tersebut untuk penjaga.
Ciri-ciri Kajian
Kami menyertakan lapan kajian klinikal. Empat kajian tersebut melaporkan intervensi untuk hubungan penjaga-pesakit dan empat kajian lain bertujuan khusus untuk meningkatkan kesejahteraan pengasuh. Kami menjumpai lima kajian yang masih berjalan.
Apakah dapatan utama kajian?
Intervensi yang diuji adalah pelbagai dari segi jenisnya (contohnya, terapi kognitif tingkah laku (terapi bicara); psikopendidikan (mendidik dan menyediakan maklumat kepada individu yang sedang mencari atau menerima perkhidmatan kesihatan mental); latihan kemahiran daya tindak; pengurusan kendiri; intervensi rangkaian sosial); dan kaedah pelaksanaannya (contohnya, secara bersemuka; melalui atas talian), dan kesemua kajian ini melibatkan bilangan sampel yang kecil (melibatkan antara 13 hingga 56 orang penjaga neuro-onkologi). Kami menjumpai beberapa bukti kesan positif terhadap sokongan penjaga dari aspek distres psikologi, perasaan penguasaan (contohnya, perasaan bahawa diri sendiri dapat mengawal situasi penjagaan), dan kualiti hidup.
Kebolehpercayaan bukti
Tiada kajian yang disertakan melaporkan mengenai kesan kepada beban penjaga atau kualiti hubungan pesakit-penjaga. Tiada kajian yang disertakan yang mengukur kesejahteraan fizikal penjaga. Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah tahap rendah hingga sangat rendah, dan hal ini bermaksud bahawa kesan sebenar sokongan penjaga mungkin amat berbeza.
Kesimpulan
Dapatan kami mencadangkan bahawa, buat masa ini, sukar untuk membuat kesimpulan yang muktamad mengenai keberkesanan intervensi sokongan untuk meningkatkan kesejahteraan penjaga neuro-onkologi. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan tentang sokongan kepada penjaga keluarga pesakit yang telah didiagnosis, dan menghidapi tumor otak atau saraf tunjang.
Diterjemahkan oleh Muhammad Zhafran bin Ahmad Dirsan. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi muhdZhafran@hotmail.com