Bagaimana antibiotik yang berbeza dibandingkan dalam aspek keselamatan dan keberkesanan rawatan untuk pesakit bronkiektasis?


Latar belakang
Bronkiektasis adalah peluasan abnormal saluran udara di dalam paru-paru. Lazimnya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria yang berulang di dada, yang merosakkan saluran udara. Antibiotik merupakan pilihan utama untuk rawatan jangkitan ini dan digunakan untuk mencegah jangkitan ulangan dalam jangka masa panjang. Bagaimanapun, penggunaan antibiotik mesti menimbang potensi kesan-kesan sampingan dan kebimbangan kerentangan bakteria terhadap rawatan dengan antibiotik yang mengurangkan keberkesanannya. Hanya sebilangan kecil kajian yang telah memberi tumpuan ke atas antibiotik untuk pesakit bronkiektasis. Penjelasan selanjut mengenai bagaimana antibiotik yang berbeza dibandingkan satu dengan yang lain amat diperlukan segera.

Ciri-ciri kajian
Pada April 2018, kami mencari kajian yang melibatkan orang-orang dewasa atau kanak-kanak yang mengalami bronkiektasis yang pesertanya telah ditentukan secara rawak untuk menerima sejenis antibiotik atau yang lain melalui kaedah pengambilan yang sama. Kami menjumpai hanya empat kajian, dan kesemuanya kecil. Keseluruhannya, mereka melibatkan 138 peserta. Bilangan sampel yang kecil ini menjadikannya sangat sukar untuk membuat kesimpulan yang jelas.

Keputusan utama
Empat kajian rawak memenuhi ciri untuk dimasukkan ke dalam ulasan sistematik ini. Tiada kajian yang dimasukkan telah melaporkan maklumat mengenai keradangan (eksaserbasi). Kajian yang dimasukkan melaporkan tiada kematian dan tiada kejadian serius yang tidak diingini. Kegagalan rawatan lebih rendah dengan antibiotik fluoroquinolone berbanding dengan antibiotik amoxicillin.

Kualiti bukti
Pengulas-pengulas menilai kualiti bukti yang dihasilkan oleh empat kajian kecil tersebut sebagai rendah atau sangat rendah.

Mesej utama

Antibiotik fluoroquinolone mungkin lebih berjaya daripada antibiotik amoxicillin dalam merawat eksaserbasi, tetapi penemuan ini berdasarkan bukti yang berkualiti rendah. Lebih banyak bukti daripada kajian klinikal jangka pendek yang berkualiti tinggi dan rawatan jangka panjang dengan antibiotik diperlukan jika kesimpulan yang jelas hendak dicapai terhadap manfaat satu antibiotik berbanding dengan yang lain untuk pesakit bronkiektasis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information