Program saringan pergigian sekolah untuk memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak

Apakah matlamat ulasan ini?

Kesihatan oral bermaksud keadaan mulut, tekak, gigi dan gusi. Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika saringan pergigian sekolah memperbaik kesihatan oral kanak-kanak; dan jika benar, kaedah saringan mana yang terbaik. Kami mendapati lapan kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini. Ini adalah kemaskini kedua ulasan yang diterbitkan pada Disember 2017 dan pertama kali dikemaskini pada Ogos 2019.

Mesej utama

Tiada cukup bukti untuk membuat kesimpulan sama ada saringan pergigian sekolah tradisional boleh memperbaiki temu janji pergigian (boleh membuat kanak-kanak melawat doktor gigi lebih kerap). Tambahan juga, adalah tidak jelas jika peningkatan temu janji pergigian menjadikan kesihatan oral lebih baik. Kami masih perlukan kajian berkualiti tinggi yang mengukur impak saringan jangka panjang ke atas kesihatan oral.

Apakah yang dikaji oleh ulasan ini?

Penyakit oral, terutama kerosakan gigi (disebut karies gigi oleh doktor gigi) mempengaruhi kanak-kanak di seluruh dunia. Jika tidak dirawat, kesihatan oral boleh merosot dan memberi impak negatif kepada kesejahteraan kanak-kanak. Ia juga mempunyai kos kewangan untuk keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

Saringan pergigian sekolah melibatkan profesional pergigian memeriksa mulut dan gigi kanak-kanak di sekolah dan memberitahu ibu bapa tentang keadaan mulut dan keperluan rawatan anak mereka. Ia bertujuan untuk mengenal pasti masalah pada peringkat awal dan mengingatkan ibu bapa untuk mendapat rawatan yang diperlukan. Sama ada ia memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak menjadi persoalan yang ingin kami jawab dalam ulasan ini.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kemaskini carian kami mengenal pasti satu kajian baharu yang akan disertakan sejak versi terakhir ulasan itu diterbitkan. Ulasan ini melibatkan sejumlah lapan kajian yang membentangkan keputusan untuk 21,290 kanak-kanak. Empat kajian berlangsung di UK, dua di India, satu di AS dan satu di Arab Saudi. Kanak-kanak berumur 4 hingga 15 tahun. Kajian-kajian melihat kesihatan oral dan kehadiran pergigian kanak-kanak yang disaring di sekolah berbanding kanak-kanak yang tidak menjalani saringan. Sesetengah kajian juga membandingkan pelbagai cara saringan dan bentuk susulan (cth surat nasihat atau rujukan).

Kami tidak tahu sama ada saringan pergigian sekolah tradisional menambahbaik temu janji pergigian. Kajian yang melihat saringan berdasarkan kriteria tertentu (cthnya disasar kepada kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan doktor gigi) mencadangkan ia mungkin sedikit lebih berkesan berbanding tiada saringan untuk menambahbaik temu janji pergigian. Mungkin tiada perbezaan antara saringan berasaskan kriteria dan saringan universal untuk menambahbaik temu janji pergigian, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan-keputusan.

Surat rujukan peribadi atau khusus kepada ibu bapa boleh menambahbaik temu janji pergigian berbanding surat tidak khusus, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

Saringan dengan motivasi tambahan (pendidikan kesihatan dan tawaran rawatan percuma) boleh menambahbaik temu janji pergigian berbanding saringan sahaja, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan-keputusan.

Satu kajian membandingkan surat rujukan yang berbeza (dengan lebih atau kurang maklumat tentang penyakit pergigian) mendapati kedua-duanya tidak lebih baik untuk menambahbaik rawatan pergigian dalam kalangan kanak-kanak.

Surat rujukan khusus tidak menggalakkan lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka ke doktor gigi berbanding dengan surat dengan nasihat generik untuk melawat doktor gigi.

Kesemua lapan kajian menyusul kanak-kanak untuk 3 hingga 11 bulan selepas saringan. Oleh itu, kita tidak tahu kesan saringan untuk tempoh yang lebih lama.

Tiada kajian yang menyemak sama ada terdapat sebarang kesan negatif program saringan atau berapa kosnya.

Adakah ini merupakan ulasan yang terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 15 Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura I(Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsil.edu.my

Tools
Information