Apakah isunya?
Terdapat peningkatan bilangan pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik yang memerlukan hemodialisis (HD). Apabila buah pinggang tidak berupaya membuang sisa daripada darah secukupnya, HD diguna untuk membersih darah dan mengeluarkan lebihan air melalui mesin dialisis. Hipotensi intradialisis (IDH) adalah komplikasi lazim HD yang dicirikan oleh penurunan tekanan darah (BP) mendadak dengan simptom-simptom hipotensi seperti pening, lemah, loya, dan keletihan, dan ia adalah faktor risiko morbiditi dan kematian kardiovaskular. Secara am, penurunan suhu badan dikaitkan dengan pengecutan salur darah, dan peningkatan BP. Walau bagaimanapun, suhu bahan dialisis yang diguna dengan meluas ialah 37°C, dan suhu badan mungkin meningkat semasa dialisis standard. Penyingkiran haba dengan bahan dialisis yang sejuk mungkin bermanfaat untuk kestabilan hemodinamik. Tambahan pula, pengurangan empirik tetap suhu bahan dialisis adalah ringkas dan mudah untuk diterima pakai dalam amalan harian, walau bagaimanapun ia boleh meningkatkan ketidakselesaan pesakit seperti sensasi sejuk, menggigil, dan simptom-simptom yang berkaitan.
Apa yang kami lakukan?
Kami mengumpul semua data dari kajian-kajian pesakit CKD yang memerlukan HD yang melaporkan data tentang IDH, kadar ketidakselesaan dan lain-lain hasil penting. Kami memasukkan 25 kajian yang melibatkan 712 peserta dalam ulasan ini, dan menjalankan analisis meta untuk menganggarkan kesan penyejukan bahan dialisis.
Apakah yang kami temui?
Kualiti kajian-kajian yang dimasukkan pada amnya adalah sangat rendah kerana risiko bias, saiz sampel yang kecil dan kekurangan maklumat.
Kami menemui kualiti bukti yang sangat rendah untuk penurunan tetap suhu bahan dialisis bagi mengurangkan insiden IDH berbanding bahan dialisis standard dan meningkatkan kadar ketidakselesaan. Apabila ketidakselesaan pesakit adalah minima, pengurangan suhu bahan dialisis mungkin menjadi opsyen untuk mengurangkan IDH. Walau bagaimanapun, tiada kajian yang melaporkan hasil jangka panjang seperti kematian atau masalah jantung.
Kesimpulan
Terdapat data terhad yang mencadangkan pengurangan suhu bahan dialisis mungkin mencegah IDH, tetapi kesimpulannya adalah sangat tidak pasti. Kajian lebih besar yang mengukur hasil penting seperti IDH atau kematian bagi pesakit HD diperlukan untuk menilai kesan mengurangkan suhu bahan dialisis.
Diterjemah oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my