Apakah isunya?
Keguguran adalah penyebab utama kegagalan kehamilan dan merupakan salah satu komplikasi paling lazim di awal kehamilan. Dianggarkan 15% kehamilan akan berakhir dengan keguguran, dengan 25% wanita mengalami satu kali keguguran di sepanjang hayatnya. Keguguran boleh mengakibatkan komplikasi serius termasuk perdarahan, jangkitan malah kematian, terutama di negara berpendapatan rendah. Keguguran umumnya didefinisi sebagai kehilangan spontan kehamilan sebelum 24 minggu gestasi. Kebanyakan keguguran berlaku dalam 14 minggu pertama dan dikenali sebagai keguguran awal.
Mengapakah hal ini penting?
Keguguran boleh diurus secara semula jadi (menunggu tisu janin keluar sendiri), secara perubatan (tablet diberi untuk membuat rahim mengeluarkan tisu janin) dan secara pembedahan (pengeluaran tisu janin semasa pembedahan). Walau bagaimanapun, terdapat ketidakpastian tentang keberkesanan, keselamatan dan kesan sampingan kaedah sedia ada dalam mengurus keguguran. Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mencari kaedah paling berkesan dan selamat dengan paling kurang kesan sampingan. Kami mengumpul dan menganalisis data semua kajian yang relevan untuk menjawab persoalan ini.
Apakah bukti yang kami temui?
Kami mencari bukti pada Februari 2021 dan mengenalpasti 78 kajian melibatkan 17,795 wanita. Kebanyakan wanita ini diuruskan di hospital. Wanita didiagnos dengan keguguran tanpa gejala (juga dikenali keguguran senyap iaitu tiada tisu janin yang keluar dan tiada perdarahan atau sakit) atau keguguran tidak lengkap (iaitu perdarahan atau sakit telah bermula dan mungkin sedikit pengeluaran tisu janin). Kami temui bukti enam kaedah berlainan untuk mengurus keguguran: tiga kaedah pembedahan (aspirasi sedutan bersama penyediaan serviks, pendilatan dan kuretaj, atau aspirasi sedutan), dua kaedah perubatan (mifepristone bersama misoprostol atau misoprostol sahaja), dan pengurusan semula jadi atau plasebo.
Analisis mencadangkan ketiga-tiga kaedah pembedahan dan kedua-dua kaedah perubatan lebih berkesan berbanding pengurusan semula jadi atau plasebo untuk melengkapkan proses pengguguran. Aspirasi sedutan bersama penyediaan serviks adalah kaedah terbaik dalam pengurusan keguguran diikuti dengan pendilatan dan kuretaj, dan aspirasi sedutan sahaja. Dua kaedan perubatan iaitu kombinasi mifepristone dan misoprostol, dan misoprostol sahaja masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima pengurusan terbaik.
Daripada data sedia ada, kami tidak dapat belajar banyak untuk hasil kematian atau komplikasi serius. Ketiadaam kematian yang dilaporkan dalam kajian menyumbang kepada hasil ini. Antara komplikasi serius, majoriti adalah wanita yang memerlukan transfusi darah, sesetengah mengalami perforasi rahim yang berkait dengan pembedahan atau memerlukan prosedur lanjut untuk menyelamatkan nyawa. Kami tidak tahu kaedah terbaik untuk hasil ini akibat data yang terhad. Walau bagaimanapun, pengurusan semula jadi atau plasebo dikaitkan dengan komplikasi serius berbanding pilihan rawatan alternatif lain.
Kami juga melihat secara berasingan wanita yang mengalami keguguran tidak lengkap berbanding wanita yang keguguran tanpa gejala. Bagi kedua-dua kumpulan wanita tersebut, ketiga-tiga kaedah pembedahan dan kedua-dua kaedah perubatan didapati lebih berkesan berbanding pengurusan semula jadi atau plasebo dalam menyediakan rawatan definitif untuk keguguran. Analisis bagi keguguran tidak lengkap dan keguguran tanpa gejala bersesuaian dengan analisis keseluruhan iaitu kaedah pembedahan lebih baik bagi menyediakan rawatan definitif untuk keguguran berbanding kaedah perubatan yang mana lebih baik pula berbanding pengurusan semula jadi atau plasebo. Walau bagaimanapun, manfaat bagi wanita dengan keguguran tanpa gejala yang menjalani sebarang kaedah pengurusan keguguran selain pengurusan semula jadi atau plasebo adalah lebih besar berbanding kumpulan wanita dengan keguguran tidak lengkap. Hal ini mungkin kerana pengurusan semula jadi atau plasebo lebih berkesan dalam kalangan wanita yang proses keguguran telahpun bermula berbanding dalam kalangan wanita yang mana proses keguguran belum bermula lagi.
Apakah maksudnya?
Secara umum semua kaedah lebih berkesan untuk mengurus keguguran berbanding pengurusan semula jadi atau plasebo, tetapi kaedah pembedahan lebih berkesan daripada kaedah perubatan. Pengurusan semula jadi atau plasebo berpeluang paling rendah untuk kejayaan dalam merawat keguguran dan berpeluang paling tinggi untuk komplikasi serius dan keperluan pembedahan tidak dirancang atau kecemasan. Dalam ulasan ini, kami dapati manfaat bagi wanita dengan keguguran tanpa gejala yang menjalani sebarang kaedah pengurusan selain pengurusan semula jadi atau plasebo adalah jauh lebih besar berbanding wanita dengan keguguran tidak lengkap.
Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.