Rawatan multimodaliti untuk mesotelioma pleura malignan (kanser pleura primer)

Soalan ulasan

Adakah pembedahan radikal dengan atau tanpa radioterapi memperbaiki tempoh dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dalam kalangan orang dengan mesotelioma malignan setempat, berbanding dengan kemoterapi dan penjagaan sokongan sahaja?

Latar belakang

Mesotelioma pleura malignan (iaitu, kanser pleura primer) adalah tumor yang sukar untuk dirawat. Kemoterapi biasanya diberi terlebih dahulu kepada orang yang cukup sihat untuk melaluinya. Adalah tidak jelas sama ada pembedahan radikal dan radioterapi membantu orang hidup lebih lama atau memperbaiki secara keseluruhan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari artikel perubatan yang diterbitkan untuk mencari kertas penyelidikan yang melihat strategi rawatan gabungan dengan pembedahan untuk merawat orang dengan kanser pleura primer. Kami mencari kajian klinikal rawak (di mana orang telah diperuntukkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dan menggunakan maklumat yang didapati untuk membuat kesimpulan. Kami mendapat bukti sehingga 21 Mac 2017.

Keputusan utama

Penulis ulasan mendapati dua kajian klinikal rawak yang kecil, di mana sejumlah 104 orang dengan mesotelioma pleura telah dirawak. Satu kajian membandingkan tambahan pembedahan dan radioterapi kepada kemoterapi dengan kemoterapi sahaja. Kajian yang satun lagi membandingkan tambahan radioterapi kepada kemoterapi dan pembedahan dengan kemoterapi dan pembedahan sahaja. Kedua-dua kajian kecil ini mencadangkan tiada nilai tambah sama ada radioterapi atau gabungan radioterapi dan pembedahan. Kami tidak dapat menggabungkan data daripada kajian-kajian tersebut seperti yang kami rancang, kerana kedua-dua kajian tersebut terlalu berbeza. Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana untuk survival dan kualiti rendah untuk semua hasil lain. Penulis ulasan mengenal pasti tiga kajian klinikal secara rawak yang sedang berlangsung, yang mana hasilnya belum lagi diterbitkan.

Kualiti bukti dan kesimpulan

Kami hanya mendapati dua kajian yang relevan. Kedua-duanya adalah kecil, yang membuatkan keputusannya tidak pasti. Tidak jelas sama ada memberi gabungan pembedahan dan radioterapi radikal selepas kemoterapi adalah lebih baik daripada memberi kemoterapi sahaja. Radioterapi radikal nampaknya tidak memperbaiki hasil pembedahan semata-mata.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information