Kesan nutrien tambahan berasaskan lipid (LNS) untuk wanita semasa hamil

Soalan ulasan

Adakah memberi nutrien tambahan berasaskan lipid (LNS) kepada wanita semasa hamil baik untuk ibu dan bayi mereka?

Latar belakang

Status nutrisi wanita sebelum dan semasa hamil memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan janin. Adalah penting untuk menangani kekurangan pemakanan ibu untuk memperbaiki kesihatan ibu dan anak. LNS bermatlamat untuk memberi nutrien kepada wanita hamil dan orang-orang lain yang rentan, dengan menyediakan pelbagai vitamin dan mineral serta tenaga, protein dan asid lemak penting.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati empat kajian dengan 8018 wanita hamil. Kajian terawal diterbitkan pada 2009. Semua kajian berlangsung di negara-negara membangun: tiga di Afrika (satu di Ghana, Malawi, dan Burkina Faso), dan satu di Asia (Bangladesh). Semua kajian berlangsung di persekitaran komuniti yang stabil; tiada yang dilaksanakan di dalam persekitaran kecemasan. Daripada empat kajian yang dimasukkan, satu membandingkan LNS dengan asid folik besi (IFA), satu membandingkan LNS dengan pelbagai mikronutrien (MMN), dan dua membandingkan LNS dengan kedua-dua IFA dan MMN.

Keputusan utama

Ulasan ini mencadangkan mungkin LNS ada sedikit manfaat terhadap bayi yang lahir kecil, dan berat serta panjang bayi baru lahir berbanding IFA. LNS tidak memberi manfaat tambahan kepada wanita dan bayi baru lahir berbanding MMN, dan kedua-dua IFA dan MMN lebih bagus untuk mengurangkan anemia maternal berbanding LNS. Kami tidak menemui sebarang kajian tentang LNS untuk wanita hamil di dalam persekitaran kecemasan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, bukti adalah berkualiti sederhana.

Bukti terkini

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my.

Tools
Information