Soalan ulasan
Apakah impak tambahan nutrien berasaskan lipid (LNS) bersama makanan tambahan ke atas kesihatan, nutrisi dan hasil pembesaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kecil?
Latar belakang
LNS merupakan produk makanan yang mengandungi tenaga, mineral dan vitamin yang boleh menambahbaik tumbesaran kanak-kanak. LNS membekalkan vitamin, mineral dan tenaga dalam bentuk protin dan asid lemak yang utama. Kami memutuskan untuk menilai kesan LNS yang diberikan bersama makanan tambahan, dibandingkan kepada tanpa intervensi, serbuk mikronutrien (MNP; sebatian vitamin dan mineral yang ditabur ke atas makanan) dan produk makanan kisar yang telah diperkaya (FBF) yang lain kepada kanak-kanak yang sihat.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini mengandungi 17 kajian (dari 54 laporan) dengan 23,200 kanak-kanak. Empat dari kajian yang dimasukkan telah dijalankan di Malawi, tiga di Bangladesh, dua di Ghana dan satu di Burkina Faso, Haiti, Honduras, Chad, Congo, Kenya, Niger, Peru, Guatemala, dan Indonesia. Empat kajian yang dimasukkan telah mendaftarkan wanita-wanita hamil dan membekalkan LNS bersama makanan tambahan semasa kehamilan dan selepas bersalin, diikuti dengan tambahan makanan bayi bermula pada usia enam bulan. Kajian-kajian lain membekalkan LNS bersama makanan tambahan kepada kanak-kanak selepas usia enam bulan. Tiada kajian yang dimasukkan yang dilakukan dalam persekitaran kecemasan.
Keputusan utama
Penemuan ulasan ini mencadangkan LNS bersama makanan tambahan kemungkinan adalah intervensi yang berkesan bagi menambahbaik hasil tumbesaran dan mengurangkan kadar kanak-kanak yang rendah tubuh badan bagi umur mereka (pembantutan), mempunyai berat yang rendah bagi umur mereka (kurang berat badan tahap sederhana), mempunyai berat yang rendah bagi ketinggian mereka (penyusutan sederhana) dan anemia (kurang sel darah merah). Tambahan pula, LNS bersama makanan tambahan mungkin menambahbaik ketinggian dan berat bagi umur dan juga lilitan pertengahan bahagian atas lengan tanpa kesan-kesan yang tidak diingini dalam kalangan kanak-kanak berumur enam hingga 23 bulan. Intervensi kelihatan lebih berkesan jika diberikan melebihi tempoh 12 bulan.
Bukti juga mencadangkan LNS bersama makanan tambahan yang diberikan mungkin mengurangkan pembantutan sederhana, penyusutan sederhana dan kurang berat yang sederhana, berbanding dengan FBF lain.
Juga, LNS bersama makanan tambahan mungkin lebih berkesan dari MNP dalam mengurangkan kadar berat badan sederhana dan menambahbaik ketinggian dan berat.
Kualiti bukti
Pada keseluruhannya, kami beranggapan kebanyakan kajian mempunyai risiko bias yang tinggi kerana peserta dan penyelidik tahu intervensi yang diperolehi disebabkan oleh sifat intervensi yang diguna. Kami menilai kualiti bukti bagi kebanyakan hasil sama ada sebagai rendah atau sederhana.
Bukti semasa
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2018.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my