Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada terapi tingkahlaku kognitif (CBT) adalah berkesan untuk tinnitus. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.
Mesej-mesej utama
Terdapat beberapa bukti dengan kepastian rendah hingga sederhana menunjukkan bahawa CBT boleh mengurangkan kesan negatif yang disebabkan oleh tinnitus terhadap kualiti hidup pada akhir rawatan, dengan beberapa atau tiada kesan buruk (walaupun penyelidikan lanjut mengenai hal ini adalah diperlukan).
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Tinnitus adalah persepsi bunyi di telinga atau kepala tanpa mana-mana sumber luar. Ia sering digambarkan sebagai bunyi berdering, berdesir, berdengung atau air mengalir kuat. Tinnitus kebanyakannya diuruskan dengan pendidikan dan/atau kaunseling, terapi istirahat, terapi latihan semula tinnitus dan penjana bunyi peringkat telinga atau alat bantuan pendengaran. CBT adalah satu bentuk terapi bercakap yang bertujuan untuk menukar respons emosi dan/atau tingkah laku pesakit kepada tinnitus mereka. Ulasan ini melihat kajian CBT bagi orang dewasa yang mempunyai tinnitus sekurang-kurangnya tiga bulan. Peserta dalam kumpulan kawalan sama ada menerima intervensi, penjagaan audiologi (pendengaran), terapi latihan semula tinnitus atau jenis rawatan yang lain. Penulis ulasan mengkaji kesan CBT terhadap kualiti hidup berkaitan tinnitus, kesan buruk, kemurungan, kebimbangan, kualiti hidup secara umum dan tafsiran negatif yang berat sebelah tentang tinitus.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami mendapati 28 kajian yang relevan, kebanyakannya dari Eropah, dengan sejumlah 2733 peserta. Peserta yang menerima CBT menjalani rawatan selama antara tiga dan 22 minggu (kebanyakannya di klinik atau dalam talian).
Apabila CBT diandingkan dengan tiada intervensi terdapat bukti kepastian yang rendah bahawa CBT boleh mengurangkan kesan negatif tinnitus terhadap kualiti hidup pada akhir rawatan. Ia tidak diketahui sama ada kesan ini berterusan dalam tempoh yang lebih panjang (enam atau 12 bulan). Terdapat sedikit atau tiada kesan buruk (hanya satu kesan buruk dilaporkan dalam satu peserta dalam tujuh kajian). CBT mungkin juga sedikit mengurangkan kemurungan (bukti kepastian rendah) dan boleh mengurangkan kebimbangan, walaupun dapatan ini adalah sangat tidak pasti. Ia juga tidak pasti sama ada CBT meningkatkan kualiti hidup secara umum atau interpretasi negatif yang berat sebelah tentang tinnitus.
Berbanding dengan penjagaan audiologi, terapi latihan semula tinnitus dan jenis rawatan yang lain, ada penemuan yang menunjukkan CBT mungkin mengurangkan kesan negatif tinnitus terhadap kualiti hidup. Kepastian bukti ini adalah berkisar dari sederhana hingga rendah. Di mana dilaporkan, terdapat beberapa kesan buruk dan tiada perbezaan yang ketara antara kumpulan. Untuk kemurungan, kebimbangan dan kualiti hidup secara umum keputusan adalah lebih bercampur dan bukti kurang pasti. Terdapat bukti dengan kepastian sederhana bahawa CBT boleh mengurangkan interpretasi negatif yang berat sebelah tentang tinnitus berbanding dengan rawatan jenis lain, tetapi berbanding dengan penjagaan audiologi dan terapi latihan semula, bukti adalah kurang pasti.
Sejauh manakah ulasan ini dikemaskinikan?
Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga November 2019.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my