Nutrien tambahan oral berasaskan protein untuk pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan dialisis

Apakah isunya?
Pesakit buah pinggang kronik yang memerlukan dialisis adalah berisiko untuk mengalami malnutrisi kerana banyak sebab dan sering tidak cukup makan kerana kurang selera makan. Nutrien tambahan oral biasanya diberikan kepada orang yang tidak makan dengan mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka. Penyediaan nutrien tambahan untuk pesakit dialisis memerlukan pertimbangan yang berhati-hati bagi batasan kalium, fosfat dan cecair.

Apa yang kami lakukan?
Kami bermatlamat untuk menentukan jika pemberian nutrien tambahan oral berasaskan protein meningkatkan tahap albumin serum dan ukuran nutrisi yang lain.

Apa yang kami temui?
Sebanyak 1278 orang mengambil bahagian dalam 22 kajian yang disertakan dalam ulasan ini untuk menyelidik kesan nutrien tambahan oral berasaskan protein. Semua peserta adalah orang dewasa yang menjalani rawatan dialisis (79% hemodialisis dan 21% dialisis peritoneal). Kajian-kajian tersebut berlangsung dari satu hingga 12 bulan. Penemuan-penemuan menunjukkan pemberian nutrien tambahan oral berasaskan protein berkemungkinan menyebabkan sedikit peningkatan yang lebih besar bagi tahap albumin dan mungkin meningkatkan tahap pra-albumin dan ukurlilit otot lengan. Peningkatan tahap albumin adalah lebih jelas dalam peserta yang menjalani hemodialisis dan dalam mereka yang mengalami malnutrisi. Adalah tidak pasti sama ada nutrien tambahan oral berasaskan protein mempengaruhi tahap kalium dan fosfat. Nutrien tambahan oral berasaskan protein mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko untuk mengalami gejala abdomen. Terdapat beberapa perbezaan di antara kualiti kajian-kajian tersebut dan reka bentuk mereka.

Kesimpulan
Penulis menyimpulkan bahawa nutrien tambahan oral berasaskan protein kelihatan berkesan dalam meningkatkan beberapa penanda nutrisi dalam orang yang memerlukan dialisis; tetapi, ia masih tidak pasti sama ada keputusan-keputusan ini diterjemahkan kepada hasil yang bermakna untuk populasi ini. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk menentukan keberkesanan kos rawatan ini, dan jika ia boleh membawa manfaat kepada pesakit seperti merasa lebih baik dan hidup lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information